Konvo

November 19th, 2008

Raudzah Roslan pensyarah UiTM Johor

Esok, Roza akan menerima ijazah sarjananya daripada SPB Tuanku Mizan, Canselor UiTM.

Abah, mak, Sara, Amirul, Sofea, Bibit dan saya berkumpul di Shah Alam bagi meraikan Roza. Ketika usianya melewati awal 40an, Roza berjaya merealisasikan impiannya setelah sekian lama berkorban bagi mempastikan suaminya mendapat yang terbaik.

Dan saya bersyukur kerana dapat bersama-sama beliau meraikan hari yang sangat bermakna!

Hati Nurani

November 19th, 2008

Saya sedang membaca tentang hati. Istilah hati nurani sangat menarik hati. Katanya, hati nurani tidak mungkin membuat kesilapan. Ia adalah cebisan zat Allah yang sentiasa mengarah ke arah kebaikan.

Hati nurani berbeza dengan hati. Hati dikatakan sebagai pusat dari seluruh perasaan manusia. Di dalam hatilah terkandung diri sejati manusia, iaitu roh. Hati masih belum sempurna kerana roh kita masih harus belajar untuk kembali kepada Tuhan.

Hati nurani pula merupakan bahagian terdalam atau dalam bahasa yang mudah merupakan inti kepada hati itu sendiri. Oleh kerana ia merupakan percikan dari zat Tuhan dan tidak pernah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain, maka ia sentiasa murni.

Ia sangat berbeza dengan minda [otak] manusia. Otak masih bersifat fizikal. Logiknya begini, sesuatu yang minda menyatakan benar pada hari ini, ia mungkin salah setelah menerima maklumat terbaru. Maksudnya, otak mempunyai kekangan sebagaimana anggota fizikal yang lain.

Saya membaca kisah hati supaya dapat memahami kenapa manusia terlalu berminat untuk mencari dan memikirkan tentang kelemahan manusia lain. Saya tidak mahu begitu. Biarlah hati nurani saya terbuka dan bekerja mengikut fitrahnya yang menuju ke arah kebaikan.

Nasi Kandar

November 18th, 2008

Roti Tisu
Semalam, kami makan tengahari di Hussin Nasi Kandar, Sungai Petani. Saya berbisik memberitahu Azrai: “Hanya dua lauk dan satu sayur, hari ini Uncle Azhar yang belanja. Bukan ayah yang bayar”.

Uncle Azhar baru dinaikkan pangkat ke DM52 [Pensyarah Kanan]. Kami tumpang gembira di atas kejayaan tersebut. Dan nampak jelas yang Azrai sudah terbiasa dengan menu nasi kandar. Habis licin sepinggan nasi.

Malamnya kami berkunjung ke Restoren Kayu, di sebelah Hotel Vistana. Alamak, ramainya orang beratur untuk menikmati nasi kandar. Ia tidaklah terlalu panjang tetapi tidak pula putus-putus. Nasi Kandar bukanlah minat saya. Lalu saya order Roti Tisu Istimewa Kayu.

Lama saya menunggu. Akhirnya muncul pesanan tersebut. Adoh… tingginya sampai dua kaki. Ia terpaksa diletakkan di atas tiga pinggan yang dirapat-rapatkan. Harga? RM4.00! Nampaknya saya membayar harga kemahiran dan kesenian [nota: saya ada mengambil gambar tetapi terlupa membawa kabel].

Kami bersolat subuh di Masjid Bayan Baru. Jemaahnya agak ramai, melebihi 50 orang. Imamnya datang awal dan membaca al-Quran yang mengindahkan suasana hening pagi. Beliau bersalam dengan saya. Dari Mana?, beliau menyapa. Agaknya nampak jelas yang saya bukannya daripada kariah yang sama tetapi menyibuk duduk di sebelah imam.

Trip ke Pulau Pinang sering dikaitkan dengan Nasi Kandar. Namun saya lebih teruja kerana diundang bercakap di USM. Doa-doa semasa di Masjidil-Haram yang mahu menceritakan keagungan dan kehebatanNya nyata dimakbulkan secara berterusan.

Nota: entri ini ditulis lebih awal tetapi tidak diuploadkan kerana masalah internet.

Buku Nadir USM

November 17th, 2008

Bersama Tan Sri Dzulkifli, Naib Canselor USM

Saya menyangka yang Bicara Karya anjuran USM merupakan program ‘biasa-biasa’. Sesuai dengan musim haji, penganjur sengaja memilih dua penulis yang menghasilkan karya berlatarbelakangkan haji. Saya fikir begitu!

Kemudian, saya melihat kesemua pengurusan kanan USM muncul. Pendaftar, Bendahari, Ketua Pustakawan dan diikuti dengan kemunculan Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli, Naib Canselor [NC]USM bersama Puan Sri. Saya tahu Tan Sri NC telah menangguhkan temuduga Profesor USM semata-mata untuk hadir ke majlis Bicara Karya.

Alahai… semangat saya masih kuat untuk menceritakan tentang keagungan, kehebatan dan Kekuasaan Allah. Dan saya berdoa agar Allah memberi keampunanNya jika saya terlampau-lampau dan proses penceritaan tersebut.

Kemuncak majlis, buku Travelog Haji dan Travelog Dakwah telah dipilih sebagai buku Nadir USM, di mana saya perlu menandatangani kedua-dua buku tersebut dan ia akan disimpan sebagai satu naskah yang terpelihara sampai bila-bila. Tujuannya adalah untuk menjamin keaslian naskah asal.

Akhirnya, kedua-dua hasil karya telah mendapat pengiktirafan sebuah universiti ternama di Malaysia.

Saya rasa terhormat.

Menunggu giliran

November 16th, 2008

Bersama Suhaimi Selamat Pagi Malaysia Travelog Dakwah

Pagi-pagi lagi saya bangun tidur. 3 pagi. Selepas bersolat, saya tekun menandatangani buku-buku Travelog Haji dan Travelog Dakwah yang sudah di pesan oleh Wan Zarina [UiTM Pulau Pinang]. 35 naskah.

Kemudian beredar ke Masjid Negeri. Perut sudah meragam. Entah kenapa ia jadi begitu semenjak menulis Travelog Haji dan Dakwah. Mungkin kerana saya sangat memikirkan - apa orang kata - dan sangat berhati-hati bila mahu bercakap di khalayak awam. Apatah lagi apabila ke udara. Saya bersolat hajat dan berdoa agar dipermudah. Mudah bercakap, tersusun ayat dan boleh difahami oleh pendengar.

Saya sampai awal di Wisma TV. 7.35 pagi. Slot saya hanya akan ke udara pada pukul 8.50 pagi. Bayangkan, bangun pukul 3.00 pagi untuk siaran yang hanya 10 minit. He… hee… Tidak mengapa! 10 minit nilainya mungkin melebihi RM10,000.

Letih menunggu, saya mengusik-ngusik mereka yang ada di studio. Salah seorangnya Taslim, pengacara muda yang baru menyertai RTM dari ASTRO:

Boleh kita bergambar? Nanti bila you jadi sangat terkenal, susah mendapat peluang seumpama ini.

Saya yakin telah menggembirakan Taslim di samping menghilangkan rasa gelisah. Beliau seorang yang mudah berbicara. Mulutnya terkumat-kamit menghafal skrip. Katanya, “Saya orang baru. Masih gugup”.

Set penggambaran terletak di luar studio. Petugas lalu-lalang di belakang kamera. Suasana agak berbeza berbanding dengan pengalaman terdahulu. Mengambil tempat di set, Suhaimi [pengacara] terus bertanya, apa bezanya Travelog Haji dengan Travelog Dakwah….. La… dalam masa dua-tiga minit saya sempat berceramah kisah haji yang telah saya lalui.

Akhirnya, saya tahu - Suhaimi dan saya - mempunyai kesan kimia yang baik walaupun baru berkenalan beberapa minit.

Sejam menunggu giliran, ramai kenalan yang telah saya perolehi.

Berdua

November 15th, 2008

“Sekali-sekala, luangkan masa bersendirian dengan isteri [suami]. Keluar makan bersama tanpa anak-anak”, kata Prof Dato’ Amin ketika berceramah kepada staf pentadbiran UiTM Johor.

Beliau sendiri tersenyum bila bercerita pengalaman menghadiri kursus pasca-perkahwinan, setelah lebih 25 tahun berkahwin. Mereka diajar semula cara bertutur bagi mengembalikan perasaan menarik sebelum atau peringkat awal perkahwinan. Cara Dato’ Amin mengajuk pelbagai intonasi bertutur suami-isteri menimbulkan gelak ketawa hadirin.

Petang semalam saya mengajak Roza bersolat di Masjid. “Jom Yang, kita berjalan kaki”. Amirul mengikut di belakang. Kami berjalan beriring-iringan sambil Roza memegang tangan saya. Saya terkenangkan semasa menunaikan Fardhu Haji. Rasa cinta, kasih dan sayang terhadap isteri terlalu luar biasa di Tanah Suci.

Pagi tadi, saya kejutkan Roza. “Jom Yang, kita bersolat di Masjid”. Pukul 4.20 pagi, suasana keheningan, cuaca segar-amat, kami berjalan berpegangan tangan dan lengan. Saya rasa seolah-olah sedang bercinta!

“Yang, mari kita makan soto di Kg Jawa, kita pergi berdua”, saya memberi cadangan. Saya tahu Roza gemarkan soto.

Kami meluangkan masa beberapa jam hanya untuk kami berdua. Bercakap perkara ‘kose-kose’ [mudah-mudah] ketika suasana tersangat nyaman. Ia sangat signifikan!

Jemputan

November 15th, 2008

Promosi Muhd Kamil Ibrahim di Selamat Pagi Malaysia

Prof Madya Ustaz Halim menjemput kami sekeluarga ke rumah beliau kerana mengadakan jamuan doa selamat dan kesyukuran. Barangkali kerana beliau akan melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Selain daripada kedua-dua Timbalan Pengarah, Ustaz Halimlah yang sering menjadi wakil Pengarah apabila saya benar-benar tidak dapat hadir ke satu-satu majlis. Beliau seorang yang pendiam. Namun, beliau seorang penulis yang sangat prolifik. Hampir setiap tahun beliau menerbitkan satu atau dua buah buku.

Sepatutnya, saya sudah meninggalkan Segamat menuju Shah Alam. Saya lewatkan sedikit agar dapat bersama-sama beliau berdoa dan mengucap syukur.

Petang dan malam ini, saya akan berada di Hotel Concorde, Shah Alam sementara menunggu Selamat Pagi Malaysia yang akan ke udara pada keesokan harinya.

Selepas usai di RTM, saya akan terus menuju ke Pulau Pinang kerana menghadiri majlis Bicara Buku, jemputan Universiti Sains Malaysia [nota: majlis akan berlangsung di Perpustakaan USM, Isnin, 17hb.]. Saya akan menginap di Hotel Vistana [nota: entah, di mana ya?] semalam.

Sambil-sambil, bolehlah saya menziarahi Azrai yang sedang bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan SPM. Dan bolehlah saya singgah di rumah sahabat, Ustaz Sofwan yang meminta dihantar hampir 30 naskah buku Travelog Dakwah.

Dan mereka yang berjanji untuk bertemu ’sekelip mata’, saya sertakan HP, 0193154444.

Rombongan

November 14th, 2008

nullSaya teruja apabila Kak Ma [Kakak ke 2] memberitahu beliau dan rombongannya - satu bas - akan sampai ke Segamat. Mereka menghantar Penolong Pengetua [PP] sekolah yang dinaikkan pangkat. Beliau dilantik sebagai Pengetua Sekolah Agama di sini.

Wow… tentu sekali PP yang diraikan merupakan insan berhati mulia, disenangi dan sangat-sangat dikasihi oleh staf beliau. Kalau tidak, masakan sebegitu ramai staf yang mahu mengiringi beliau ke Segamat.

Saya nyatakan kepada Kak Ma: Tentu sekali mereka akan sampai pada waktu Subuh. Jemput ke rumah. Saya sponsor makan pagi. Mereka boleh mandi-mandi di rumah, bersolat subuh di Masjid As-Syakirin dan breakfast.

Penghormatan kepada seorang ketua bukan boleh dipaksa-paksa. Ia datang daripada hati nurani [nota: saya sedang membaca buku mengisahkan tentang hati nurani]. Perasaan tulus yang tidak terjangkau dek akal biasa.

Saya juga mempunyai sedikit angan-angan bagaimana mahu menamatkan jawatan sebagai Pensyarah UiTM Johor. He… he… ia satu rahsia! Ia satu angan-angan yang hanya saya, Roza dan dia yang tahu.

Kak Ma dan rombongan baru beredar. Semoga terselit kenangan sejenak berada di Villa Firdaus!

Travelog Dakwah: Dari blog

November 13th, 2008

Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada blogger yang mula menulis komen dan menyebut tentang Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Entri ini saya tidak buka kepada komen kerana ia akan sentiasa di update dengan mengubah masa penulisan.

Saya tidak mahu komputer ‘huru-hara’ dengan tarikh komen pembaca yang mendahului tarikh penulisan saya [nota: saya kehilangan blog yang terdahulu akibat entri seumpama ini].

1. Inilah komen pertama yang saya baca, Kisah Buku:Travelog Dakwah di I grew Stronger Everyday.
2. Travelog Dakwah Meniti Hari Esok di Hitam Putih Kehidupan.
3. Ben Harper menulis Travelog Dakwah di Walk of Life.
4. A page a day menulis Jatuh Hati.
5. Nurazzah8 menulis TDMHE.
6. Tuan Sabtu dengan Minda Jumaat.

Komen terpilih

November 12th, 2008

Salam Sejahtera Yang Mulia Prof

Sesungguhnya AlKulliyah yang prof bintangi tempohari amat bermakna dan banyak memberi kesedaran kepada saya. Bagaimana butanya prof dari agama sehinggalah umur menjangkau 40an.

Betapa kejinya ibubapa yang tak pernah membawa sinar al quran kepada zuriat mereka, tak begitu prof?

Namun prof bernasib baik dikurniakan kesedaran bak mukjizat, dari kegelapan ke cahaya NUR Islam dalam sekelip mata. Dengan berbekalkan pengalaman SEKALI pergi tanah HARAM, prof dapat menghasilkan sebuah karya agung dan berpeluang berdakwah di media unggul negara kita. Mukjizat sebegini menunjukkan prof adalah YANG TERPILIH!

Ingin sekali bersua dan mengucup kaki bakal Wali ini sebagaimana sami sami di Batu Caves mencium dan meminum airkaki Ayah Pin, orang kampung Ganu negeri kelahirang Yang Mulia prof.

Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya nescaya Kami berikan pada mereka balasan pekerjaan mereka didunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (nikmat) diakhirat kecuali neraka dan lenyaplah diakhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah terhadap apa yang mereka kerjakan.

Maksudnya, apa yang mereka usahakan di dunia itu tidak ada pahalanya di akhirat nanti. Sebenamya di samping mengejar kemayhuran, ada penyakit sampingan yang timbul darinya. Bila sudah masyhur, hati mula berbunga. Jadilah mereka seperti burung merak yang sombong dan bangga dengan kecantikan dirinya. Kita rasa bangga kalau kita dikenali. Nama pula sentiasa disebut dari bibir ke bibir.

Orang yang mengejar dunia tetapi melalui melakukan kerja-kerja yang zahirnya keakhiratan juga boleh tertipu.

Bagaimana? Mereka berdakwah, ceramah sana-sini, orang dengar kata-kata nasihatnya hingga mengalirkan air mata kesedaran, hatinya sudah bangga dan puas. Ia berpuas hati dapat memberi kesedaran pada masyarakat tetapi hakikatnya taufik dan hidayah itu adalah dari Allah S.W.T.

Kadang-kadang belum pun keluar dewan ceramah. Baru turun dari pentas ceramah, hati sudah memikirkan tentang strategi memasyurkan diri seterusnya, berbunga dengan riak, ujub dan takabbur.

Begitu juga dengan penulis yang berdakwah dengan penanya. Mereka bangga dengan hasil tulisan mereka. Hati mereka berbunga bila hasil tulisan mereka keluar dalam media massa dengan nama yang terpampang.

Bila nama naik, tentu orang akan baca hasil tulisan tersebut. Maka pujian pun datang menggunung. Hanyutlah penulis dalam lautan pujian dan kemasyhuran melalui penanya.

Wassalam

Yuss

Nov 12, 4:57 PM — [ Edit | Delete | Unapprove | Approve | Spam ] — Al-Kulliyah TV3, IP: 219.95.192.210