30 tahun nanti

July 4th, 2009

30 tahun nanti saya berumur 75 tahun. Samada saya masih berada di sini atau menanti dibangkitkan daripada alam kubur hanya Allah yang tahu. Pada ketika itu mungkin mereka yang sedang mendaftar dengan Tabung haji [photo] sedang bersiap sedia untuk berangkat ke Tanah Suci.

Doakan saya dan keluarga semasa berada di sana!

Muhd Kamil menghadiahkan buku Tabung Haji kepada siswa-siswi 2009

Muhd Kamil menghadiahkan buku Tabung Haji kepada siswa-siswi 2009

Syarahan Intelektual Siri V: Pelajar Cemerlang: Bolehkah Aku?

July 4th, 2009

Penceramah : Prof. Dr Hj.Muhd Kamil Ibrahim – Pengarah UiTM Johor

Tarikh : 11 Julai 2009 (Sabtu)
Masa : 9.30 - 11.30 pagi
Tempat : Dewan Kuliah 2, UiTM Johor, Kampus Segamat.

Jemputan : Pelajar-pelajar ting. 4-6 sekolah-sekolah menengah seluruh negeri Johor Darul Ta’zim

Anjuran:
Sekretariat Percambahan Ilmu & Keintelektualan,
Unit Komunikasi Korporat & Media UiTM Johor Kampus Segamat
Hubungi Azura: 079352222

Masjid As-Syakirin

July 3rd, 2009

Ubahsuai masjid selesai. Tengahari tadi mereka bersolat Jumaat. Katanya penuh sesak. Minggu depan bila pelajar ijazah mendaftar, solat Jumaat akan melimpah keluar.

Saya bercadang untuk membina Dataran As-Syakirin yang boleh menampung solat Jumaat, Terawih dan kegiatan di anjung masjid. Kedatangan 1400 siswa-siswi baru memerlukan perancangan segera.

Notis

July 2nd, 2009

Petang ini kami - saya dan Roza - akan bertolak ke Johor Bharu kerana akan merasmikan Majlis Mesra Siswa, Kampus Bandaraya Johor Bahru. Majlis perasmian pada pukul 9.00 pagi, hari Jumaat. Roza pula akan menghadiri majlis doa kesyukuran sempena memuliakan hari diputerikan DYMM Baginda Tuanku Sultanah Johor.

Kami akan menginap di Hotel Puteri Pasifik.

Selepas solat Jumaat, program tazkirah staf Majlis Bandaraya Johor Bahru akan berlangsung di Dewan Jubli Intan MBJB. Khabarnya lebih 450 staf MBJB akan hadir. Di sebelah malam, seorang hamba Allah menjemput saya ke rumah. InsyaAllah, saya akan hadir.

Di sebelah malam, kami akan menginap di M-Suite.

Sabtu, di sebelah tengahari, saya akan mengunjungi seorang Puan Sri yang akan membiayai jamuan bulan Ramadhan untuk anak-anak yatim di bawah kelolaan Persatuan Wanita UiTM Johor. Sudah beberapa kali beliau mahu saya dan Roza melawatnya. Saya sangat bersyukur kerana dapat berkenalan dengan insan semulia beliau.

Di sebelah malam, saya akan bersama siswa baru UiTM di masjid As-Syakirin [nota: seronoknya saya melihat masjid yang sudah diubah-suai] bagi kursus memantapkan solat. Satu aspek yang kelihatan kecil tetapi amat signifikan akan diperjelaskan.

Apakah itu?

Ia program ringkas bagaimana mahu join solat berjemaah ketika solat sudah bermula. Terdapat begitu ramai siswa-siswi yang mengejar imam…. Ketika di Sabah, Roza bercerita bagaimana makmun perempuan solat pantas-pantas kerana mahu mengejar jemaah lain yang sudah berada di rakaat yang ke 2.

Pagi Ahad, saya akan berkunjung ke Kampung Shari, Simpang Renggam - Masjid As-Sobirin - kerana memberi syarahan sempena Program Sinar Nurani Guru-Guru Islam Zon Simpang Renggam pada pukul 10.30 pagi.

Jika ada yang sudi untuk hadir di MBJB atau di Simpang Renggam, saya tidak fikir ia tidak boleh dilakukan [Mohon izin di pintu masuk].

Juara

July 2nd, 2009

2008Pasukan Pengarah 2008

2009
Ramai pemain 2008 yang prestasi menurun telah digugurkan.
Pasukan Pengarah 2009

1400

July 2nd, 2009

Tazkirah Muhd Kamil Ibrahim dipelajar baru UiTM Johor, Julai 2009.

Hampir 1400 siswa-siswi mendaftar di UiTM Johor.

Saya merasmikan Minggu Wawasan Siswa pada sebelah pagi. Petang, pasukan bola pengarah menewaskan siswa baru 3-1. Roza pula menyertai pasukan bola jaring staf yang menewaskan pasukan siswi 7-5.

Malamnya tazkirah di Masjid sementara UiTM Johor. Saya katakan kepada mereka:

“Saya menanti-nanti kedatangan saudara-saudari. Sudah lama saya menanti kerana saya bercadang ingin memberi sedikit hadiah kepada saudara-i semua. Saya sudah kumpul wang daripada bulan satu lagi. Apakah hadiah yang ingin saya sampaikan? Saya ingin hadiahkan buku Tabung Haji. Ia tidak banyak cuma RM2.00 seorang tetapi jumlahnya menjadi besar apabila jumlah pelajar baru meningkat sehingga 1400 orang.

Haji mempunyai nilai yang sangat signifikan dalam hidup saya. Saudara-i mungkin belum terfikir untuk pergi ke Mekah atau Madinah. Bagaimanapun, suatu hari nanti, apabila sampai masanya, saudari-i akan pergi jua. Ketika itu ingatlah kepada saya, doakanlah agar saya dilepasi daripada seksa kubur, masuk syurga tanpa dihisab”.

Nilai kewangan tidaklah signifikan. Namun pemberian daripada pengarah kampus dan isteri mungkin bermakna kepada sebahagian daipada mereka. Saya berdoa mereka semua akan dirahmati Allah sepanjang mereka belajar di UiTM Johor dan seterusnya ketika menjalani kehidupan ini.

Selamat datang!

Perjuangan

July 1st, 2009

Raden bersama Roza

Raden Galoh @ Dalilah adalah ikon buat mereka yang mengidap penyakit kanser. Kisah perjuangan dan ketabahan beliau melawan penyakit tersebut menawan ribuan insan.

Dalilah begitu tabah sekali dengan ketentuan Allah. Perjuangan yang bermula semenjak 2004 kelihatan memberi sinar yang terang. Beliau kelihatan sihat sejahtera!

Saya dan Roza bertemu Dalilah di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC atas permintaan beliau setelah berinteraksi melalui SMS dan e-mail. Beliau kelihatan ceria, tidak menampakkan sebagai pesakit kanser dan nyata bersemangat bercerita tentang kehidupan.

Kami kelihatan seperti sudah bertahun mengenali di antara satu sama lain.

Semalam ketika kami “sibuk” di Negeri di Bawah Bayu, Roza mendapat SMS, routine check-upnya menunjukkan kanser kembali menyerang. Kini di bahagian liver.

Dalilah dalam kesedihan. Beliau menangis apabila menerima khabar tersebut. Namun saya percaya, beliau seorang yang sangat tabah untuk meneruskan perjuangan. Saya dan Roza terus berdoa agar Raden Galoh diampuni dosa-dosanya, terus berjuang dan agar Allah menyembuhkan segala penyakit tanpa berbaki sedikit pun.

Saya melihat khabar ini sebagai satu peringatan kepada saya, Roza, Abah, Ayu dan kita semua. Kami bersamamu Dalilah.

Institut Pendidikan Malaysia, Kampus Gaya

June 30th, 2009

Cik Zaidah yang tersenyum lebar, sebelah kanan bergambar dengan Puan Raudzah. Ceramah Muhd Kamil di Sabah.

Petang semalam saya berbuka di Institut Pendidikan Malaysia, Kampus Gaya. Maghribnya hampir 30 minit lebih awal daripada Semenanjung. Tidak terasa panjang berpuasa di sini. Cik Zaidah yang berusaha menjemput saya ke sini menyediakan juadah berbuka puasa yang sangat menyelerakan.

Layanan yang telah diberikan menusuk kalbu. Saya melihat kebesaran Allah di mana-mana. Ketika kita ingin melakukan segala-galanya kerana Allah, Dia sentiasa memberi bantuan yang menyentuh hati melalui hati-hati yang sangat baik.

Sepatah kata Zaidah: “Saya boleh mendengar ceramah Prof di Semenanjung kerana saya sering ke sana. Bagaimanapun, saya mahu rakan-rakan dan anak-anak murid saya mendengar sama. Allah memakbulkan doa-doa saya untuk membawa Prof ke sini”.

Selesai solat Maghrib, saya menyampaikan ceramah bertajuk “Doa Intisari Kehidupan”. Saya sentiasa berdoa agar apa yang saya sampaikan boleh memberi manfaat kepada khalayak pendengar.

Khalayak pendengar ceramah. Ceramah Muhd Kamil di Sabah.

Bersama dengan Encik xxxx dan isteri. Ceramah Muhd Kamil di Sabah.

Pagi ini saya telah dijemput untuk bersama-sama staf RTM Sabah dan seterusnya menjadi tetamu Sabah FM untuk siaran langsung program Ekspresi. Selepas program ini, saya akan terus berangkat pulang.

Kami akan mengenangi trip ini sebagai sesuatu yang mengesankan! Subhanallah.

Negeri di bawah bayu

June 29th, 2009

Makan selamat sampai di Kota Kinabalu di rumah En Razak, Muhd Kamil dan Pengarah RTM Sabah Dato' Jumat.

Semalam, saya dan Roza selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu [Air-Asia] di sekitar 12.45 tengahari. Delay 30 minit. Encik Razak - blogger - sedia menanti bersama anak bongsu beliau. Mengikut jadual, saya akan makan di tengahari di Taman Fortuna. Saya ingatkan di restoren tetapi rupa-rupanya isteri beliau sudah bersedia dengan Nasi Arab yang sangat istimewa.

Bersama saya menikmati jamuan tersebut adalah Dato’ Jumat, Pengarah RTM Sabah yang akan bertugas ke RTM KL kerana dinaikkan pangkat.

“Ini penulis buku Travelog Haji?,” tanya Dato Jumat. Beliau bercerita tentang kesan buku tersebut kepada beliau. Saya rasa teruja kerana mengetahui yang “orang besar-besar” juga turut membaca buku ini.

Selamat datang ke Bangsar, Dato’!

Selesai makan, saya check-in di Hotel Promenade. Berulangkali sudah saya nyatakan yang saya hanya perlukan tempat ‘biasa-biasa” sahaja. Namun mereka melayan saya dengan istimewa. Saya ditempatkan di Tingkat Eksekutif. Kata Encik Razak: “sesuai dengan keistimewaan Prof”.

Malamnya, saya mula bertugas. Saya menyampaikan ceramah di Surau Austral Park. Maghrib di sini di sekitar pukul 6.45 petang. Ramai yang datang. Akhirnya, tanpa saya sedari, saya bercakap hampir 2 jam setengah.

Ceramah Muhd Kamil di Surau Austral Kota Kinabalu.

Selesai ceramah, Tuan Haji Omar [pengerusi surau] dan AJK. Beliau meraikan saya dan Roza di Restoren Nasi Padang. Lazat. Sangat istimewa dan bersesuaian dengan selera saya. Saya katakan kepada mereka: “Terima kasih kerana melayani saya sebegini baik. Saya suka makanan di sini”.

Jamuan nasi padang kepada muhd kamil oleh AJK Surau.

Pagi tadi, setengah hari saya berada di MRSM Kota Kinabalu. Pertama, ceramah motivasi kepada para pelajar. Sebagai alumni MRSM saya sangat teruja untuk berinteraksi dengan mereka. Mereka pelajar yang sangat aktif, bersemangat dan sangat natural bila bercakap dengan guru-guru ataupun tetamu.

Selepas ceramah Muhd Kamil Ibrahim di MRSM Kota Kinabalu

Kemudian, diadakan pertemuan dengan guru dan staf secara berasingan.

Muhd Kamil Ibrahim bersama guru lelaki MRSM Kota Kinabalu.

Muhd Kamil Ibrahim bersama guru wanita MRSM Kota Kinabalu.

Petangnya, saya benar-benar lepak! Saya berehat menunggu malam untuk berceramah di Institut Pendidikan Guru Malaysia, kampus Gaya. Saya berdoa kepadaNya.

Sponsor

June 28th, 2009

Muhd Kamil sponsor Sekolah Kebangsaan Seri Iman

“Abang boleh sponsor makan malam?,” Junita bertanya kepada saya. Beliau membawa lebih 40 pelajar [Sekolah Kebangsaan Sri Iman, Kemaman] “melawat sambil belajar” ke Melaka. Dalam perjalanan pulang beliau mencari sponsor untuk anak-anak muridnya.

Paling mudah, tanya abang!

“Abang ada di Penang. Lepas tu.. terus ke Sabah. OKlah, Abang order makanan, nanti Abang minta jiran tolong uruskan,” saya selalu mengalah dengan adik-adik yang tersangat manja dengan abangnya.

Semalam, lebih 40 tetamu makan malam di rumah tanpa ada tuan rumah yang melayani mereka. Saya sangat gembira mendapat laporan yang mereka menyukai makanan yang dihidangkan. Sedap lagi lazat!

Terima kasih kepada Cik Ayu yang telah menyediakan juadah dan melayani mereka.