Ikhlas bekerja

UiTM Johor terpilih sebagai finalist pertandingan Anugerah Kualiti Naib Canselor [AKNC], anugerah kualiti tertinggi di peringkat UiTM. Tema kami berkisar kepada Kualiti melalui Pendekatan Holistik.

Bagaimanapun – biarlah saya berterus-terang – pendekatan yang digunakan bukanlah untuk meraih anugerah kualiti. Ia sebagai satu proses terancang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan-amalan kualiti “di sisi Allah” seperti istiqamah, berdoa dan bersyukur, berusaha dan redha serta keikhlasan bekerja diterapkan secara bersungguh-sungguh.

Dalam konteks yang berbeza, bagaimana agaknya mahu mengukur keikhlasan seseorang?

Mustahil! Ia soal hati nurani. Penilaian hakiki adalah milik Allah. Sering anggapan dan persepsi manusia tentang keikhlasan ini tersasar jauh. Orang yang dijangka ikhlas nyata tidak begitu. Mereka yang kelihatan sebaliknya mempunyai hati emas yang berkilau-kilau sinarnya.

Semalam saya meraikan pasukan kualiti UiTM Johor di Medan Ikan Bakar Duyung, Melaka. Saya mempunyai dua pilihan, raikan mereka selepas memenangi pertandingan atau merai dan mengucapkan terima kasih di atas usaha-usaha yang telah mereka jalankan.

Saya memilih yang terakhir. Saya percaya dan yakin mereka ikhlas bekerja melangkaui tugas hakiki. Makan ikan bakar hanyalah satu gesture kecil daripada pihak pengurusan. Pada peringkat ini, menang/kalah dalam pertandingan menjadi satu isu yang berasingan.

Doakan kami berjaya!

Pasukan Kualiti UiTM Johor

Pasukan Kualiti UiTM Johor

Mereka yang berusaha

Mereka yang berusaha

6 Responses to “Ikhlas bekerja”

  1. yatie says:

    Tak menang pun tak apa, tak dapat anugerah pun tak mengapa. Yang penting buat apapun kerana Allah dan kerana ianya sudah menjadi tanggungjawab kita. Biar Allah je yang membalasnya.

    Kalau buat kerana nak kan balasan dari manusia, jika tidak dapat, pasti kita kecewa dan terluka. Sakitnya sendiri sahaja yang tahu. :) )))

  2. ummukina says:

    Salam Prof,

    Syukurlah andai semua staff UITM Segamat dpt bertugas menjalankan amanah dgn ikhlas, jujur, bertanggungjawab dan perihatin.
    Ada sedikit kekeliruan dan rasa terkilan apabila segelintir pelajar yang telah dimaklumkan tentang penempatan kolej untuk semester depan.

    Melihat bagaimana bimbangnya anak gadis kami bila mendapati nama beliau tidak tersenarai. Bermakna dia harus tinggal di luar sedangkan selama 3 semester dia berusaha menjaga segala garis panduan dan etika seperti yang dimahukan oleh pentadbiran kolej bagi memastikan mereka berpeluang tinggal lagi di kolej di masa depan.

    Semua aktiviti kolej disertai, penampilan di jaga, tahap pelajaran diawasi dan apa saja cuba dilalui dengan sebaik mungkin. Namun apakan daya apabila penempatan untuk semester 4 diumumkan, nama beliau tercicir dari senarai.

    Beliau amat terkilan mengenangkan kesemua teman2 memperoleh tempat termasuk mereka yang bermasalah dan selalu disaman kerana membawa kenderaan, tidak menjaga etika penampilan, tidak aktif di kolej dan sebagainya. Berlakukah keadilan di situ?

    Mungkinkah ada kesilapan, kekeliruan, kesilapan teknik, kecuaian atau kurang perihatin. Kami amat faham di atas susah payah mereka untuk memproses sekian banyak permohonan namun bekerjalah dengan bersungguh2, ikhlas dan bertimbangrasa.

    Terkenang bagaimana sahabat anak saya yang begitu berazam untuk belajar bersungguh2 mengejar impiannya tetapi hanya bertahan sekerat jalan pada semester yang baru lalu.

    Sebagai seorang anak yatim piatu yang mengharapkan seorang bapa saudara yang sudah tua, bertugas sebagai pengawal keselamatan, sakit dan diserang strok baru2 ini untuk menyara beliau. Sedangkan nama beliau tiada dalam senarai penempatan kolej.

    Terpaksa menyewa di luar dengan menanggung soal makan minum, pengangkutan, sewa rumah dan seribu satu masalah bermula dari semester kedua dan akhirnya pada semester ketiga beliau sudah tidak berdaya lagi dan mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

    Maka dengan meminjam sedikit wang dari anak kami beliau membawa diri menumpang rumah seorang kenalan dan kini bekerja mencari nafkah hidup sendirinya dengan bertugas sebagai kerani akaun di kotaraya K.Lumpur yang mencabar.

    Mohon saya adalah pertimbangan, perihatin dan berlaku adil dalam usaha kita memberi apa saja kemudahan di kampus Segamat, insyaallah.

    Anak kami akan berusaha membuat rayuan dan jika diizikan Allah swt adalah rezeki beliau untuk menumpang tinggal di kolej dan terubatlah rasa sedih dan bimbangnya, insyaallah.

  3. MKI says:

    Salam sejahtera,

    Alangkah baiknya jika maklumat penuh dimaklumkan kepada saya. Nanti kalau ada jawapannya akan saya nyatakan kepada ummukina secepat mungkin.

  4. kakju says:

    Muga mencapai kemenangan….Prof sedihnya kisah ummu di atas…Prof tentu boleh buat sesuatu…

  5. SifuPTS says:

    Kita menang setiap kali kita membantu orang lain menang…..

  6. ummukina says:

    Salam Prof,

    Terima kasih atas keprihatinan Prof. Rayuan sudah pun dibuat dan jawapan hanya akan diberi selepas satu atau dua minggu semester baru bermula bulan depan. Bermakna dia harus menumpang di bilik kawan atas kebenaran pihak kolej.

    Kami tidaklah memandang masalah ini sebagai suatu yang negetif sebaliknya ia menjadi panduan dan pengajaran. Khususnya kepada anak kami sendiri. Supaya dia sedar dan memahami erti susah payah kehidupan. Anak-anak sekarang kebanyakannya mengambil mudah sesuatu peluang mungkin kerana kehidupan mereka lebih senang berbanding kita dulu.

    Biarlah dia lebih faham erti konsep berusaha, berdoa sepenuh hati dan bertawakal kepada Allah. Jangan mudah berputus asa dan belajar menerima kegagalan dan kekalahan secara positif. Dalam usia yang masih terlalu muda banyak lagi ranjau hidup yang bakal mereka tempuhi. Andai dirinya merasa susah ada lagi orang lain yang lebih susah mengharungi hidup ini.

    Setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama dan daya usaha warga UITM Segamat. Semoga sentiasa diberkati Allah swt dan terus maju jaya di masa depan. Salam dari saya suami isteri – juga hasil anakdidik ITM S.Alam suatu masa dulu.

Leave a Reply