Kisah 3 tahun yang lampau

Jemaah bersiap untuk melontar

Jemaah bersiap untuk melontar


Jamaaratul Aqabah Mengubah Segalanya

Sesudah wukuf di Arafah dan mabit (bermalam) di Muzdalifah – kami bertolak ke Mina bagi melakukan ibadat melontar. Walaupun ia mempunyai pelbagai pilihan dan opsyen, saya telah memilih untuk melontar pada setiap hari, iaitu pada 10,11,12 dan 13hb Zulhijjah. Saya membuat pilihan ini setelah bersembahyang hajat, berdoa dan memohon kepadaNya agar diberikan ilham supaya dapat melakukan ibadat melontar dengan cara yang terbaik.

Terbaik untuk kami sekeluarga!

Mengikut jadual, kami akan melontar Jamaratul-Aqabah secara berkumpulan pada sebelah malam, 10 Zulhijjah. Pada masa tersebut dikatakan keadaannya agak selamat, tidak sesak dan tidak mendapat gangguan daripada mereka yang kurang bersopan-santun.

Berkali-kali saya membelek dan membaca buku panduan haji. Katanya: Waktu yang paling afdhal untuk melontar pada 10 Zulhijjah adalah pada waktu doha’. Sebelum waktu subuh – sekali lagi – saya bersembahyang hajat dan taubat supaya memberi kekuatan akal dan fizikal. Hati saya sudah mula membuat pilihan: Aku mahu yang terbaik tetapi dalam masa yang sama berada di dalam kegelisahan dan ketakutan.

10 Zulhijjah, 7.30 pagi – kami bermesyuarat ringkas dan saya mengemukakan satu pertanyaan kepada Roza, Kak Mie dan Adik Na: “Tabung Haji akan bawa kita pada waktu malam tetapi waktu yang paling afdhal ialah waktu doha. Waktu Doha dikatakan tidak selamat, bahaya dan orang akan bersesak-sesak dengan mereka yang ganas-ganas. Bagaimana?”

Kak Mie: Saya ikut Mil

Adik Na: Na ikut Abe Mil

Roza: Kalau boleh kita pergi waktu afdhal

Kata saya: Hati saya nak waktu doha’. Jadi pukul 9.30 pagi berkumpul di sini.

Tentu sekali saya berbohong jika mengatakan yang saya berasa tenang, aman dan yakin dengan keputusan yang telah saya lakukan. Perasaan ketakutan, teramat takut dengan keselamatan – 3 wanita – yang menjadi tanggungjawab saya. Lalu ketika berkumpul di luar khemah saya membaca doa ini:

“Ya Allah kau ampunilah kami, berikanlah keberkatanMu, berikanlah taufik-hidayahMu dan berikanlah kerahmatanMu. Ya Allah, kami ingin melakukan ibadat melontar pada pagi ini. Dikatakan pada waktu ini adalah waktu yang paling afdhal tetapi keadaannya sesak dan keselamatan tidak terjamin.

Ya Allah kami ingin pergi juga pada waktu ini, kami datang ke sini semata-mata keranaMu Ya Allah. Namun, kami takut Ya Allah. Bersama aku adalah isteriku, adik perempuanku, kakakku, mereka adalah kaum yang lemah, aku tak upaya menjaga keselamatan mereka, aku serah mereka kepadaMu Ya Allah, kau peliharalah keselamatan kami. Hanya engkaulah tempat kami berserah. Berikanlah laluan dan lorongan. Tidak ada yang lebih berkuasa selain daripada Kau. Tidak ada Ya Allah. Ampuni kami Ya Allah. Ampuni kami Ya Allah”

Saya benar-benar ketakutan. Air mata saya mengalir selebat-lebatnya. Ia tidak terkawal. Ia satu doa yang paling kusyuk yang pernah dilafazkan kepada Pencipta saya. Mata Roza, Kak Mie dan Adik Na kemerah-merahan, merasai betapa kami akan melalui satu perjuangan yang cukup besar. Selesai berdoa, Roza memegang tangan kiri saya dan Adik Na memegang tangan kiri Kak Mie. Pesan saya: Ikut saja ke mana abe pergi!

Kami terus melangkah dengan saya membaca “SubhanaAllah” tanpa henti berselang-seli dengan “Rabbil-Yasiir, Walatu-asiir”, “Ya Allah, permudahkan kami, berikan laluan, berikan laluan Ya Allah”. Airmata sentiasa mengalir. Benar, saya benar-benar takut dan berserah kepadaNya. Gema bunyi tapak kaki dan suara ribuan manusia yang melalui terowong Muassim benar-benar memberi perasaan ketakutan yang amat sangat.

Ya Allah, SubhanaAllah, Maha suci Allah, Maha Pengasih Allah – saya tidak berbohong – sepanjang perjalanan kami sejauh 2.9KM, Allah sentiasa memberi ruang di antara 3 hingga 4 kaki dengan mereka yang berada di hadapan kami. Kami bergerak ibarat lipas kudong. Sekejap ke kiri, sekejap kekanan. Yang pasti hati dan mulut kami berzikir tanpa putus.

Lebih kurang 1km daripada Jamarahtul-Aqabah, kami dapat menyaksikan jutaan manusia yang berpusu-pusu melalui beberapa haluan yang berbeza ingin menuju ke tempat yang satu. Aneh, di hadapan kami sentiasa ada ruang untuk kami bergerak, berasa selesa dan selamat. Tiba-tiba saya dan Roza sudah berada di hadapan Jamarahtul Aqabah – di hadapan sekali – untuk mula melontar secara bertenang, tertib dan bersopan-santun. Saya menjeling ke kiri, Kak Mie dan Adik Na ada bersebelahan.

Selepas melontar dan membaca “Doa Lepas Melontar”, terserlah kelegaan, kesyukuran, kenikmatan dan kebahagian yang Allah menyayangi kami. Airmata kami masih mengalir, walaupun dalam keadaan yang cukup perlahan. Saya ungkapkan perkataan ini kepada isteri, Roza:

“Yang, Allah benar-benar menjadikan kita sebagai tetamu yang paling istimewa. Doa kita dimakbulkanNya. Sejak kita sampai di Mekah hingga ke hari ini, Dia sentiasa bersama kita. Dia banyak bagi pengajaran kepada saya. Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Saya banyak dapat petunjuk. Kalau saya balik ke Malaysia, saya masih lagi tak takut kepadaNya, masih buat dejel, saya tak tahulah saya ni jenis manusia apa, saya adalah sejahat-jahat manusia”

Ketika pulang ke Khemah, fikiran saya merenung jauh – Maha Suci Allah – Aku serahkan segala-galanya kepadaMu. Besok, kami akan melontar di ketiga-tiga jamrah ketika waktu yang paling afdhal – selepas gelincir matahari – seawal-awalnya!

Benar, pengalaman saya di Jamarahtul-Aqabah mengubah ‘contents’ seorang manusia!

8 Responses to “Kisah 3 tahun yang lampau”

  1. Anonymous says:

    best sebab dapat baca sedutan buku travelog haji.

    prof letak lah lagi sedutan yang lain.

    best . best . best. thank you Allah.

  2. ropidi says:

    Salam dari Melbourne

    Kebergantungan hanya padaNya melorongkan hikmah yang tidak terduga. SubhanaLlah, betapa besarnya kasih sayangNya.

    Salam Eid Adha untuk semua.

  3. SifuPTS says:

    Macam baru balik dari Mekah…..

  4. Citratus says:

    Assalamu’alaikum wbt,

    Dear Prof,

    Ketika mengunjungi sebuah kedai buku di KLIA beberapa hari yang lalu, saya terlihat buku-buku ‘best-seller’ prof berada di rak-rak buku ruangan agama bersama buku-buku yang seangkatan dengannya. Setelah mengetahui kehidupan prof yang lampau ( melalui buku-buku tersebut ) saya terfikir, apalah agaknya perasaan prof jika melihatnya. Sesuatu yang tak pernah terfikir? Atau biasa-biasa sahaja.

    Buku yang punyai ’spiritual value’ impaknya amat besar. Nilainya untuk difahami dan dipelajari bukan sahaja pada masa itu sahaja malah sepanjang masa. Selama mana ia masih diterbitkan. Insya-Allah. Begitu jualah harapan saya untuk buku-buku prof yang akan datang.

    Salam Aidil Adha! Doa saya agar prof sekeluarga sentiasa dalam rahmat dan kasih-sayang Ilahi. Wassalam.

  5. ummumuhd says:

    Salam Aidil Adha.

    Tak jemu2 saya membaca rentetan cerita prof walaupun dah 2 kali baca travelog haji dan pengkisahan melalui muqaddimah. Air mata tergenang tanpa diundang. Harap prof izinkan untuk “copy” doa prof bila saya berpeluang kesana nanti.

  6. yunosh says:

    Salam Prof,

    Syukur Alhamdullilah saya dapat rasakan bagaimana Prof rasakan. Allah akan permudahkan urusan kita jika kita yakin dan percaya kepada rahmatnya. Wassalam.

  7. elia says:

    Salam…
    Saya salah seorg student epjj uitm…first time tgk nama prof rasa cam pernah dgr nama ni rupanya prof salah seorang lecture akaun..prof saya seronok baca buku prof yang sy pinjam dari pegawai saya..lepas ni saya nk beli dan jadi hak saya sendiri..saya suka baca coretan prof bukan semua org boleh mengaku kekurangan diri…semangat yang ada pada prof menaikan semangat saya untuk terus mempelajari dan mendalami islam..sehingga kepenghujung bacaan saya menitiskan air mata..saya kagum dengan prof..teruskan menulis…untuk kami ….terima kasih kerana byk menyedarkan saya..

  8. Zarina Binti Mohamed @ Ayub says:

    Salam Prof.,

    Saya Zarina, anak kepada salah seorg peserta @ bakal jemaah haji di Segamat Johor… ibu dan ayah saya sangat bermotivasi utk menunaikan haji selepas mendengar ceramah Prof., sejak tahun lepas mereka asyik sebut2 hal prof. pade kami semua… sejak tahun lepas tu juga lah ibu dan ayah sy berusaha memohon supaya dpt menunaikan haji secepat mungkin… dgn takdir Allah masih belumberhasil, pihak tabung haji memberitahu ibu dan ayah sy yg paling cepat pun mereka hanya bole menunaikan pd 2012… yg paling membuat sy rase ingin menulis pade prof hari ni kerana, minggu lepas ayah sy diserang angin ahmar… die ingin benar pulih kerana ingin menunaikan haji… namun kadang2 nampak seperti die perlukan lebih motivasi utk teruskan perjuangan nye utk melawan stroke….. Jika tidak menjadi keberatan prof., jika prof ade sedikit kelapangan, sudi kah prof menziarahi ayah sy di rumah kakak sy di segamat? manelah tahu, dgn ziarah prof. menambah semangat ayah sy utk melawan penyakitnya. Jika prof., sempat membaca msg ini, dan sudi menziarah ayah sy prof. boleh lah menghubungi sy di no 013-6836883 – zarina. Sy sekarang di Melaka utk menyelesaikan sedikit tanggungjawab pejabat dan akan pulang ke segamat secepat mungkin minggu ini.

Leave a Reply