Saya

Saya, Ayah, Wan, Niza, Ma, Yah, Mie, Suhaili dan Shaiful.
Depan: Na, Junita, Kak, Afzan dan Nur (1990)
Nama saya Muhd Kamil Ibrahim. Lahir di Besut, Terengganu, 7 Muharam 1384. Saya mempunyai adik-beradik yang ramai, 12 orang kesemuanya. Ayah seorang guru lulusan Darjah 5. Meninggal muda - 1995 - ketika usianya tidak sampai pun 60 tahun. Semuanya ada, penyakit jantong, darah tinggi dan diabetes. Saya mewarisi kesemuanya.
Ayah sangat-sangat mementingkan pelajaran anak-anaknya. Hampir kesemua anak-anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke IPT. Ada yang belajar di Maktab Perguruan, UTM, UiTM, UM, UIA dan UUM.
Saya mengenangi Ayah dalam beberapa segi. Semasa kecil, saya selalu dibawa menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium. Tak hairanlah kalau saya sendiri minat bola. Kami - pasukan bola bawah 12 tahun Besut - johan Terengganu pada tahun 1975. Bila saya berjaya memasuki MRSM, ayah belikan saya kasut Johnson. But yang mempunyai zip. Seronoknya!
Dengan gajinya yang kecil, beliau berjaya membuat rumah yang besar. Dia memotong balak dan kadang-kadang menjadi tukang rumah sendiri. Semasa kecil, saya tidak mampu mengingati bagaimana saya berjalan-jalan kerana ayah hanya mempunyai Honda C70. Tentu sekali dia sangat-sangat menghargai dan terharu bila Ayah Su dan Cik Su (Bapa dan Mak Saudara kami) menghadiahkan kereta mereka kepada Ayah.
Saya teramat yakin yang ayah amat disenangi oleh anak-anak muridnya. Dia garang tetapi mempunyai pelbagai sifat kemuliaan. Hatinya baik, tidak pernah mahu mengambil kesempatan walaupun berpeluang ketika terlibat aktif dalam politik. Ayah adalah guru saya yang utama. Ketika saya menjadi ketua, pesan ayah selalu didengari: Jaga kebajikan anak buah, jangan ambil kesempatan dan selalulah bersangka-baik.
Dia meninggalkan kami semua pada malam Jumaat. Ketika itu, saya berkhidmat di Sarawak. Saya nyatakan kepada Kak Yah: “Tak payahlah tunggu saya, saya mahu Ayah disemadikan sebelum waktu Zohor. Ketika sampai di Besut, Ayah sudah dikebumikan.
Cerita Ustaz Mat kepada saya: “Jangan menangis, Ayah pergi comel sekali. Dia meninggal bersama saya. Malah sempat pula dia memberitahu saya: “Rasanya nyawa saya dah nak habis”. Lalu ustaz pangku dan ajar Ayah supaya mengucap. Jangan bersedih, bacalah Fatihah.” Saya bersyukur kerana Ayah pergi dalam ketenangan, kemudahan dan kemuliaan.
Ibu saya, seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Kami memanggilnya dengan panggilan WAN, kerana namanya Wan Fatimah Wan Sulaiman. Rakan-rakan yang berkunjung ke rumah akan cepat jatuh cinta dengan beliau. Ibu akan pastikan mereka semua dijamu sesedapnya. Dan ketika pulang pastinya akan dibekalkan dengan sekampit beras (atau apa-apa yang terfikir olehnya) tanda mereka juga seumpama anaknya.
Wan seorang yang penyayang, sentiasa mimpikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Jika berjumpa dengan Dr di hospital, beliau akan memberitahu: “Anak Mak Cik juga seorang Dr tapi dia tak tahu berubat”. Saya tahu Wan berbangga kerana mempunyai anak yang belajar sehingga ke peringkat PhD.
Wan juga tukang jahit yang pintar. Dia boleh membuat potongan baju kurung dengan jumlah kain yang lebih kecil berbanding dengan tukang jahit lain di Besut. Itulah pendapatannya bagi menampung kami sekeluarga. Bertahun-tahun dia menjahit sehinggakan dipenghujung hayat, kakinya menerima akibat.
Wan diserang angin ahmar namun dia bersemangat untuk kekal hidup. Dia bersenam, dia berurut dan sentiasa tidak lupa untuk memakan ubat. Saya tahu, niatnya satu: Wan mahu melihat adik-adik bongsu saya (Lina dan Nur) selamat di menara gading.
Jika Wan berdoa, dia akan memohon padaNYA sesungguh hati misalnya - Ya Allah berikan kejayaan yang cemerlang kepada anakku Azlina yang sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia. Berikan GPA 4 point kepadanya - Lalu ketika adik bongsu kami, Nur Solihah selamat di UIA, beliau mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya.
Ayah dan Wan: tentu sekali kami - 12 beradik - sentiasa mengingati mu, ketika senang, ketika susah. Pengorbanan mu tak mungkin terbalas!
Isteri saya Raudzah - dipanggil Roza - adalah anak jati Johor. Bapa keturunan Bugis dan Ibu keturunan Melayu. Setelah sekian lama kahwin, barulah saya tahu yang Roza bertitih darah dengan Datuk Bahaman (Penentang Penjajah Inggeris di Pahang) di sebelah Mak Wa-nya. Malah Tok Abah-nya adalah orang kanan Kiyai Salleh yang bertempur hebat semasa perang menentang komunis di Jementah. Barulah saya memahami kenapa Roza sangat luar biasa semangat juangnya, berkesanggupan menghadapi cabaran dan sentiasa tenang dalam menghadapi krisis.
Kami bercinta di UiTM Dungun, saya Part 6 ketika Roza masih lagi Freshie. Hubungan ini kekal - barangkali jodoh kami - sehingga saya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda. Dengan wang simpanan Young Lecturer Scheme, saya masuk meminang. Janjinya dua tahun, tapi kedua ibu bapa mahu dipercepatkan. Takut kerana dua-dua di KL. Kami kahwin pada 1989. Kadi yang menikahkan kami - Tok Kamal - jatuh sakit pada malam akad nikah. Kami menunggu sehingga hampir pukul 12 malam, barulah beliau tiba. Majlis akad nikah berlangsung selama dua hari. Khabarnya, itulah majlis terakhir yang beliau sempurnakan kerana beliau dipanggil pulang olehNya.
Roza melahirkan Sara pada 1990. Tahun berikutnya Azrai muncul. Aduh… Letihnya menjadi seorang bapa dan suami!. 7 tahun kemudian, di Bangor, semasa di penghujung PhD, Amirul memberikan keceriaan. Selama setahun saya menjaga Amirul di sebelah pagi - isteri bekerja di Littlewood - dan sebelah petang menyiapkan tesis. Tiada masalah. Anak bongsu saya lahir pada 2003. Kami namakan Farah Sofea. Dua lelaki dan dua perempuan. Cukup!
Kesemuanya dilahirkan normal kecuali Sofea yang keluar melalui perut. Sebelum menjalani pembedahan - atas nasihat Doktor - saya diminta untuk menandatangani surat keizinan agar ? (saya pun tak tahu orang panggil apa) diikat. Saya termenung sehingga Doktor berkata: “Kenapa risau, ini untuk kesihatan isteri”. Lalu saya memberi jawapan: “Saya tidak memikirkan pasal saya, cuma risau jika saya meninggal awal dan isteri saya nak kahwin lagi, dia perlu menjalani pembedahan semula. Kesihan kat dia”. Kesemua nurse yang berada hampir tersenyum dengan jawapan saya.
Saya ramai kawan. Mungkin mudah berkawan. Malah, amat menyayangi kawan-kawan saya. Saya menghormati semua orang. Cuma, sejak akhir-akhir ini saya selalu berdoa “Ya Allah pisahkan aku daripada mereka yang berniat buruk kepada ku. Lembutkan hati-hati mereka dan lindungilah diri ku daripada mala petaka”.
Saya pernah menuntut di Sekolah Rendah Tengku Mahmood, MRSM, UiTM (Diploma dan first Degree), Dundee U (Master) dan Bangor, Wales (PhD). Di MRSM saya dipanggil WEN dan di UiTM Dungun, MAT Lu’E.
Kisah-kisah yang saya paparkan melalui page ini adalah yang berlaku di sekitar saya, keluarga dan tempat kerja tetapi berunsur sejagat. Ia hanyalah catatan ringkas yang melegakan. Selain daripada golf, menulis seumpama ubat yang menyembuhkan penyakit. Bagaimanapun, matlamat akhir saya, catatan ini akan dibukukan dengan menggunakan tajuk yang sama. Setahun, dua tahun lagi - entah - saya tidak meletakkan target.
Saya tertakdir menjadi seorang Profesor Perakaunan walaupun cita-cita asal sangat berminat dalam bidang Law atau Political Science. Dulu, saya menaruh angan-angan tinggi untuk menjadi seorang Menteri. Masa berubah, cita-cita asal juga tidak kekal lama.
Kepada students perakaunan saya sering menjadikan diri saya sebagai contoh - apapun lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh - minat boleh dipupuk, dibajai atau dicari meskipun sukar.
Lebih penting bagi saya, biar kita bergaya dalam dunia kita sendiri. Usah terlampau memikirkan apa kata orang, apa orang kata pada kita dan selalulah memerhatikan kejayaan yang dicapai oleh orang lain. Jangan kondem, jangan kutuk, jangan alahai dia tu…., jangan musnahkan hidup orang, jangan dengki-khianat, busuk hati dan pelbagai lagi terutamanya kepada rakan sendiri.
Marilah kita bergembira dengan hidup kita. Berdoalah - Ya Allah jadikan kami orang yang berjaya dunia dan akhirat.