Laporan ASLI: Pegangan ekuiti Melayu 45%?
October 11, 2006 on 5:58 am | In perakaunan | 2 CommentsSepetang saya membaca dan mengkaji laporan Corporate Equity Distribution: Past Trends and Future Policy yang memberi gambaran yang pegangan ekuiti Bumiputera telah melebihi 30%, malah secara berani dinyatakan yang ia berada di sekitar 45%.
Tiada bantahan kuat daripada orang Melayu. Di sana-sini - orang politik - mereka hanya bercakap secara umum dengan nada tidak bersetuju tetapi kehilangan punca untuk mencari kebenaran.
Adakah mereka membaca laporan yang dikemukakan oleh ASLI? Perkiraan yang ASLI lakukan cukup mudah:
Jumlah Nilai Pasaran Bursa Malaysia pada 30 September 2005 = RM715.4 bilion
Sasaran 30% Bumiputera (30% x RM715.4B) = RM214.6 Bilion
Bagaimana mereka mengira yang pegangan Bumiputera melepasi RM214.6 Bilion?
EPU melaporkan yang pegangan Bumiputera adalah disekitar 20%. Jadi (20% x RM715.4 bilion = RM143.08) dicampur dengan Goverment Link Company (GLC) yang diandaikan 70% adalah attributes kepada Bumiputera (70% x RM260 bilion (nilai pasaran GLC) = RM182 bilion), maka jumlah pegangan equiti Bumiputera dikatakan (RM143.08 + RM182.00 = RM325.08), jauh melepasi sasaran 30%, iaitu RM214.6 billion. Saya ringkaskan:
Laporan EPU (20%) = 20% x RM715.4B = RM143.08
70% GLC = 70% x RM260B = RM182B
Jumlah pegangan Bumiputera = RM325.08
Peratus pegangan= 325/715.4 = 45.4%
Sekali baca saya sudah dapat mengesan kesilapan pengiraan (double counting). Sama ada ia sengaja dilakukan atau kerana daif dalam matematik terlalu sukar untuk dibuktikan. Apatah lagi laporan ini dikatakan telah dijalankan oleh bijak pandai dalam bidang masing-masing. Isu pertama - jika mereka ingin mengasingkan GLC dengan lain-lain syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, pengiraannya sepatutnya mengambil kira andaian tersebut. Walaupun secara jelas ia tidak sepatutnya dilakukan.
Sepatutnya:
Laporan EPU (20%) = 20% x (RM715.4B - RM260B) = RM91.08
70% GLC = 70% x RM260B = RM182B
Jumlah pegangan Bumiputera = RM273.08
Peratus pegangan= 273.08/715.4 = 38%
Benar - ia masih kelihatan melebihi 30%. Perhatikan pula isu kedua. Pengasingan antara GLC dengan lain-lain syarikat adalah tidak munasabah, bias dan tidak berdasarkan logik. Kemudian meletakkan nilai 70% - satu pemboleh ubah penting yang menentukan hasil akhir - tanpa pengiraan dan hujah-hujah saintifik sangat-sangat meragukan.
GLC adalah milik kerajaan. Hasil kekayaan milik kerajaan adalah milik kerajaan. Ia bukan milik Bumiputera. Meletakkan nilai 70% adalah satu niat yang ingin menjustifikasikan keinginan awal kenapa laporan ini disediakan.
Apakah niat mereka?
Anda boleh membaca topik yang sama di http://muhdkamil.net/mystory
Perakaunan Islam
October 1, 2006 on 2:12 am | In perakaunan | 2 CommentsKonsep perakaunan tradisional sentiasa memberikan ciri-ciri tertentu kepada amalan perakaunan, iaitu, mengambil kira urusan yang hanya boleh diukur dengan nilai kewangan, berkaitan dengan peristiwa ekonomi, merujuk kepada entiti perakaunan yang khusus dan hanya memberi maklumat kepada pengguna tertentu sahaja.
Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa falsafah perakaunan ini banyak menyumbang kepada pembentukan nilai dan kepercayaan pelajar dan pengamal perakaunan. Hakikatnya, kepercayaan dan nilai itu mungkin akan terbawa-bawa sebagai budaya hidup.
Misalnya, dengan hanya mengambil kira urusan yang boleh diukur dengan dengan nilai kewangan, dalam membuat keputusan perniagaan, pengurus biasanya akan membuat pilihan berdasarkan keuntungan semata-mata; prestasi syarikat juga dikaitkan dengan keuntungan yang dicapai. Lebih tinggi keuntungan akan menggambarkan prestasi kerja pengurus yang lebih baik.
Natijahnya, pengurus akan berlumba-lumba melaporkan keuntungan yang tinggi kepada pemegang saham dengan harapan mendapat ganjaran lumayan.
Dalam hal ini, adalah tidak mustahil bagi pengurus untuk membuat tindakan perniagaan tanpa mengambil kira kesannya terhadap masyarakat dan alam sekitar. Kes pembukaan pusat hiburan tanpa kawalan, pembalakan di lereng bukit, mengaut keuntungan yang berlipat ganda melalui penipuan terhadap pengguna dan bermacam-macam lagi adalah hasil daripada nilai dan pandangan manusia terhadap faktor keuntungan itu (nota: tidak semua manusia begitu. Klip di sini untuk menyaksikan kewujudan manusia yang baik hati).
Bagi pengurus yang mementingkankan diri, melalui amalan perakaunan, tentu sekali berupaya membuat manipulasi akaun bagi menunjukkan kedudukan kewangan yang boleh diterima oleh pemegang saham. Apatah lagi jika ganjaran dan prestasi kerja diukur berdasarkan pentunjuk kewangan dalam laporan kewangan tahunan (lihat beberapa kajian penyelidikan yang telah kami lakukan yang membuktikan kenyataan ini. Sila klik di sini, di sini dan di sini).
Sebagai insan yang sentiasa diasak bertahun-tahun dengan amalan perakaunan tradisional, saya sering tertanya-tanya: (a) Apakah wujud perakaunan islam? (b) jika wujud, apakah yang mendasari falsafah perakaunan islam?
Lalu, bacaan terhadap buku Muhammad Kamal Atiyah (1993, penterjemahnya: Mohd Nor Ngah) menggariskan falsafah perakaunan islam yang kelihatan berbeza berbanding dengan perakaunan tradisional. Antaranya:
a) Kaedah asas perakaunan harta dalam Islam diambil daripada alQuran dan Sunnah. Ia tidak boleh diubah dan tidak boleh menerima pindaan. Hanya cara perakaunan saja yang boleh diubah melalui ijtihad, bukan asas dan pokok hukumnya. Saya yakin, perakaunan Islam tentu sekali tidak dapat menerima amalan piawai perakaunan yang dibentuk berdasarkan kepentingan diri pengurus semata-mata.
b) Seorang akauntan mesti benar-benar faham bahawa harta yang dikiranya itu adalah Allah. Ia sebenarnya adalah di bawah perintah Allah yang mahu supaya rekod keluar masuk harta dibuat menurut kaedah Islam dan mereka mesti bekerja berdasarkan sifat-sifat amanah, benar, berkecuali, adil dan berkebolehan. Dengan perkataan lain, perakaunan Islam menolak model Barat yang hanya menganggap perniagaan dan laporan kewangan akan berakhir kepada pemegang saham saja.
c) Perakaunan Islam mengambil kira faktor haram-halal dan kesan moral dam sosial.
d) Seorang akauntan dianggap bertanggungjawab di hadapan masyarakat dan umat Islam mengenai sejauh mana ia beriltizam dengan hukum syarak dalam bidang muamalat. Ia juga bertanggungjawab menyatukan matlamat ekonomi dengan masyarakat. Secara langsung, perakaunan Islam menjurus kepada matlamat ekonomi yang membawa kepada kesejahteraan global.
Dimensi sosial perakaunan
September 20, 2006 on 6:29 am | In perakaunan | 3 CommentsAkhirnya - Corporate Social Responsibility Disclosures in Malaysia - buku terbaru hasil karya Profesor Madya Dr Mustafa Mohamed Zain, Profesor Madya Rashidah Mohamed dan saya sendiri berada di tangan pencetak.
Buku perakaunan terbitan Penerbit Universiti (UPENA) ini agak menyimpang berbanding dengan aliran model tradisional perakaunan yang hanya memberi ciri-ciri tertentu seperti, urusan yang hanya boleh diukur dengan nilai kewangan, berkaitan dengan peristiwa ekonomi, merujuk kepada entiti perakaunan yang khusus dan hanya memberi maklumat kepada pengguna tertentu sahaja.
Ramai penulis yang cenderung kepada paradigma ini akan menambah sistem ekonomi neo-klasik kepada model tradisional. Aliran pemikiran ini hanya mengehadkan kepada urusan yang boleh diukur dengan wang di samping menyalurkan maklumat kepada segelintir pengguna sahaja.
Malah, mereka yang sealiran - bertemakan konsep akauntabiliti - menyarankan tujuan utama laporan kewangan adalah untuk tatapan pemodal.
Saya fikir, dunia perakaunan kelihatan begitu teknikal, rutin dan membosankan. Bagaimanapun - setelah berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD dan menjadi penyelidik perakaunan - saya yakin ia merupakan satu bidang yang melangkaui batas-batas sempit mencakupi falsafah, kepercayaan, perspektif dan nilai, terutamanya dalam konteks untuk mengkaji bagaimana seseorang itu melihat dunia luar dari kerjayanya (Hines, 1988).
Perhatikan hujah ini. Setiap tindakan individu atau kumpulan di dalam sebuah masyarakat, memberi kesan kepada individu atau kumpulan yang lain. Berita baik bagi kita mungkin akan menjadi khabar buruk bagi yang lain.
Jual beli saham menjadi contoh yang paling mudah untuk memahami bagaimana keuntungan yang kita perolehi adalah sebenarnya menjadi kerugian bagi orang lain.
Sebagaimana kenyataan saya melalui Keuntungan Musnahkan Kehijauan: “Bayangkan bagaimana setiap kejayaan yang dicapai seperti kenaikan keuntungan syarikat, peningkatan taraf hidup, peningkatan kesihatan, peningkatan teknologi dan yang lain-lain berlaku seiring dengan hujan asid, kemusnahan lapisan ozon, keganasan, kejatuhan pasaran saham, pengangguran dan masalah sosial adalah fenomena yang umum pada hari ini. Bukankah itu harga yang perlu dibayar hasil daripada tindakan kita sendiri?”.
Ahli ekonomi menganganggap bahawa harga itu sebagai faktor luaran yang tidak perlu ditanggung oleh individu, kumpulan ataupun syarikat.
Cuma, jika diperhalusi, saya fikir faktor luaran ini lambat laun akan menjadi faktor dalaman kepada syarikat. Mungkinkah firma perniagaan yang mengamalkan konsep padanan dan akrual akan mengambil kira harga yang terpaksa dibayar apabila masanya tiba? Atau mungkinkah ia sudah terlewat sehingga nasi menjadi bubur.
Secara logik, pengabaian terhadap kesan negatif kepada alam sekitar dan sosial akibat amalan terus perakaunan pembuat polisi, membuat pengadilan moral dengan menyatakan seolah-olah ia tidak berkait langsung dengan tindakan mereka. Dari segi etika, secara nyata ia tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Kritikan-kritikan terhadap model tradisional telah melahirkan dimensi baru di dalam dunia perakaunan, iaitu Perakaunan Sosial dan Alam Sekitar (PSAS). Ketika dalam dunia kapitalis melihat keuntungan dan nilai kewangan menjadi asas penilaian, pengurus atas dasar akauntabiliti bertanggungjawab terhadap pemodal, PSAS mengemukakan gagasan baru.
Di dalam PSAS, konsep akauntabiliti perlu dipanjangkan lagi dengan mengemukakan pertanyaan berikut: “Akauntabiliti untuk siapa? Apakah kita perlu membiarkan pemodal mengaut keuntungan di atas keperitan orang lain?
Secara spesifik, PSAS merangkumi beberapa perkara berikut: a) Perakaunan untuk pelbagai perkara (tidak hanya terhad kepada peristiwa bercorak ekonomi; b) Perakaunan di dalam pelbagai media (tidak hanya terhad kepada terma kewangan; c) Perakaunan untuk individu dan kumpulan yang berbeza-beza (tidak hanya kepada pemberi modal) dan; d) Perakaunan bagi pelbagai tujuan (tidak hanya tertakluk sebagai sumber maklumat untuk membuat keputusan yang kejayaan akan dihakimi berdasarkan kewangan).
Buku yang dijangka berada di pasaran dalam masa sebulan-dua lagi melihat beberapa aspek tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan oleh firma perniagaan dalam konteks perakaunan. Kami tidak sabar-sabar menanti kelibat kulit buku tersebut. Itulah kegirangan dalaman seorang ahli akademik. Menunggu hasil kerja sendiri.
Jurnal berwasit
August 31, 2006 on 9:32 pm | In pandangan | No Comments
Cabaran utama seorang pensyarah yang bercita-cita untuk kekal bersama roh dan semangat akademiknya adalah memastikan mereka terlibat dalam aspek penyelidikan, penulisan dan penerbitan secara berterusan. Pengalaman inilah yang akan membezakan tahap kesarjanaan seorang pensyarah yang pastinya terpantul kembali melalui syarahan - terutamanya - kepada para pelajar pasca-siswazah.
Dalam diri seorang ahli akademik sejati, kepuasan kerana dapat menyumbang kepada tahap kecemerlangan akademik, sukar diceritakan. Misalnya, pada bulan Mei yang baru lalu, saya menerima e-mail daripada Profesor Zahirul Hoque, Editor Journal of Accounting & Organizational Change (JAOC) yang berpengkalan di Australia.
Beliau sertakan sekali dengan laporan penilai. Tentu sekali saya amat teruja dengan e-mail penerimaan bersyarat untuk menerbitkan kertas penyelidikan The relative Value Relevance of Earnings and Book Value in Malaysia and Singapore yang ditulis bersama Dalilawati, Khairul Anuar dan Jagjit. Tambah-tambah lagi - untuk tahun ini - sudah dua kertas penyelidikan telah diterima untuk diterbitkan.
Penilai A bermurah hati kerana hanya menyenaraikan tujuh komen dan cadangan yang perlu diberi perhatian oleh kami. Kesemua komen-komen tersebut boleh diperbetul, diperhalusi dan masih dalam kawalan. Maksud saya, jumlah kerja yang perlu dilakukan agak minimum. Pengalaman lampau mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam mengurus hasil penyelidikan supaya dapat diterbitkan melalui jurnal yang boleh diterima di peringkat antarabangsa. Jadi, memuaskan hati penilai merupakan satu aspek penting yang tidak boleh dikompromi.
Kemudian, saya menerima pula laporan Penilai B. Komen beliau sangat-sangat positif. Sebagai seorang ahli akademik, kepuasan yang tidak terhingga akan terasa apabila hasil penyelidikan dinilai oleh rakan sejawat, diterima dan kemudian diterbitkan pula oleh jurnal yang mempunyai citation index.
Komen-komen positif amat melegakan. Malah menaikkan semangat untuk bekerja lebih kuat lagi. Saya sertakan contoh komen penilai lain yang saya terima daripada Jurnal Corporate Governance: The International Journal of Business in Society. Kemudian saya sertakan jawapan editor setelah saya membuat pembetulan. Juga, perhatikan komen penilai daripada satu persidangan di Greece.
Penolakan kertas penyelidikan amat melukakan. Bagaimanapun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kecewa secara melampau. Namun saya perlu akui, yang ia bukanlah satu proses yang mudah.
Perhatikan pengalaman ini. Kami memulakan penyelidikan ini pada awal 2004. Secara kasar, penyelidikan ini telah disempurnakan dalam masa 6-8 bulan. Kemudian, kami sediakan ringkasan hasil penyelidikan dalam bentuk kertas penyelidikan. Saya hantar abstrak kepada penganjur persidangan perakaunan - sekurang-kurangnya di lima negara yang berasingan - dan kertas kami diterima oleh kesemua penganjur.
Saya pilih Istanbul, Turki. Kemudian tanpa berlengah lagi, saya membuat permohonan ke Jabatan Biasiswa dan Latihan untuk membentangkan kertas kerja di Luar Negara. Mereka luluskan RM3000. Alahai…. sikitnya! Tak mengapa - No komplen (nota: tahun ini mereka luluskan RM7000 untuk ke Florence, Italy).

Namun kegembiraan saya yang sebenar adalah semasa pembentangan kertas kerja. Saya menerima ramai kenalan - profesor perakaunan dari serata dunia - yang sudi pula memberi pandangan secara positif dan membina. Eh… kalau di Malaysia - lagi dapat hentam lagi terror - bilalah kita nak berubah. Bila tengok student kena hentam kiri dan kanan semasa membentang proposal PhD, saya selalu bersyukur kerana dapat belajar di luar negara. Kadang-kadang rasa simpati pada pensyarah muda yang baru belajar menjalankan penyelidikan diasak semasa pembentangan cadangan penyelidikan oleh kepandaian mereka yang berkelulusan PhD.
Tentu sekali kita sedang mengasuh diri-sendiri supaya pandai PR, berhemah dan bijak membantu walaupun sudah mencapai tahap Profesor, bergelar Doktor ataupun sudah cukup bijak dengan penyelidikan. Bila saya membelek-belek senarai panjang tugas seorang Profesor, salah satu tugas hakiki yang kelihatan besar dan mulia ialah keperluan seorang Profesor membantu pensyarah muda untuk meningkat di dalam kerjaya mereka. Peranan ini perlu dilakukan secara bersungguh, ikhlas dan sepenuh perasaan. Saya fikir, masa akan mengubah keadaan secara perlahan-lahan.
Berbalik kepada kertas penyelidikan yang telah dibentangkan, ia harus diperbetulkan secepat mungkin disamping keperluan untuk menyiapkan laporan penyelidikan yang bakal dihantar kepada Institute of Research, Development and Commercialisation (IRDC) UiTM.
Bila sempurna semuanya (Disember 2005), kami mula mencari-cari jurnal yang sesuai. Kami memilih JAOC. Hampir enam bulan kemudian, barulah menerima maklum balas. Dan saya fikir, kami memerlukan sebulan lagi untuk membetulkan kesemua teguran dan cadangan penilai. Bila pula ia akan diterbitkan - tak payahlah memenatkan benak pemikiran. Ia sudah tidak penting lagi!
Saya ingin berpesan kepada pensyarah yang masih kurang keyakinan untuk menghantar kertas penyelidikan mereka ke Jurnal Antarabangsa supaya berani mencuba. Senario paling teruk yang bakal anda hadapi ialah kertas penyelidikan anda akan ditolak. Bukan mati.
Cuba baca artikel How to publish your journal. Menarik. Saya sendiri pernah menerima satu komen yang agak kejam: “data yang digunakan sudah out-dated. Jika mahu dipertimbangkan semula, saya cadangkan supaya ditambah satu tahun yang terkini”. Tambahan yang menggambarkan satu projek baru.
Lebih tajam lukanya kerana Jurnal yang enggan menerima artikel saya bukanlah daripada kumpulan A. Saya tidak mengalah. Lalu saya hantar satu lagi kertas penyelidikan yang akhirnya ia sudah diterbitkan (2005) oleh Jurnal yang sama.
Nota: Artikel ini pada asalnya dipost melalui Kehidupan Ringkas tapi Signifikan.
Keuntungan musnahkan kehijauan
July 15, 2006 on 8:26 am | In pandangan | 1 Comment
Saya dilatih sebagai akauntan. Bertahun-tahun (tiga tahun di peringkat diploma, dua tahun di peringkat ijazah, 11 bulan di peringkat sarjana dan 32 bulan di peringkat Ph.D) lamanya diasak berdasarkan kepercayaan tradisional perniagaan yang asas untuk seorang akauntan atau pengurus membuat pertimbangan adalah berdasarkan faktor kewangan. Jika dipermudahkan, kalau keuntungan melebihi kos maka projek tersebut boleh dipertimbangkan.
Demikian, profesion perakaunan itu sendiri memberikan ciri-ciri tertentu kepada amalan perakaunan, iaitu, mengambil kira urusan yang hanya boleh diukur dengan nilai kewangan, berkaitan dengan peristiwa ekonomi, merujuk kepada entiti perakaunan yang khusus dan hanya memberi maklumat kepada pengguna tertentu sahaja.
Maksudnya, dalam kebanyakan kes, faktor-faktor yang tidak boleh dikaitkan dengan ringgit dan sen tidak perlu diberi perhatian.
Perniagaan dikaitkan dengan keuntungan. Para pensyarah perakaunan atau perniagaan akan mengajar `maksimumkan keuntungan maka barulah pembiaya modal akan mendapat pulangan yang maksimum’.
Sifat umum manusia juga memihak kepada kenyataan tersebut. Malah dalam banyak kajian ada menyebut `kebanyakan manusia suka memiliki wang yang banyak daripada wang yang sedikit’.
Malah satu teori perdana perakaunan sering dibuat andaian, manusia selalunya bertindak atas kepentingan diri. Jika seorang pengurus perniagaan diberi pilihan, mereka akan melaporkan petanda-petanda kewangan yang menunjukkan prestasi baik mereka. Walaupun itu bohong semata-mata.
Apa tidaknya, melaporkan kewangan yang baik misalnya peningkatan pendapatan sesaham yang meningkat akan membawa bersama bonus, kenaikan pangkat dan peningkatan pendapatan. Semua orang berkejar untuk mendapatkan kejayaan ini hatta menjadi manusia yang tamak dan meminggirkan nilai dan etika mulia.
Selagi manusia bekerja mencari kekayaan yang lebih daripada kekayaan yang sedikit, mahu keuntungan yang berlipat ganda dan meminggirkan soal etika, nilai dan kepercayaan murni maka selagi itulah dunia yang sejahtera tidak akan tercapai.
Sebagai contoh, kalau bukit tidak ditarah, berapa sangatlah rumah yang boleh dibina? Atau jika mahu memilih-milih pokok yang mahu ditebang, berapa pula kos tambahan yang perlu ditanggung, berapa lama masa diperlukan, berapa ruang yang terpaksa disimpan yang sepatutnya dibina rumah atau kilang.
Bayangkan bagaimana setiap kejayaan yang dicapai seperti kenaikan keuntungan syarikat, peningkatan taraf hidup, peningkatan kesihatan, peningkatan teknologi dan yang lain-lain berlaku seiring dengan hujan asid, kemusnahan lapisan ozon, keganasan, kejatuhan pasaran saham, pengangguran dan masalah sosial adalah fenomena yang umum pada hari ini. Bukankah itu harga yang perlu dibayar hasil daripada tindakan kita sendiri?
Ramai yang tidak mahu menyedari bagaimana alam sekitar sebenarnya bertindak sebagai pembekal bahan pengeluaran seperti tanah, air, udara, bahan galian dan bahan perhutanan.
Alam sekitar juga bermurah hati untuk menyediakan suasana persekitaran yang nyaman dengan keindahan semula jadinya. Dan jika diurus dengan betul dalam suasana yang seimbang, alam sekitar juga mampu menyerap segala sisa buangan.
Maksudnya, jika manusia bersifat gelojoh, cuba mengaut keuntungan yang melampau-lampau tanpa mempertimbangkan kemampuan alam untuk mengembalikan keadaan semula jadi, maka itulah yang berlaku kepada tahap kepanasan yang tinggi, banjir kilat dan berlumpur malah kawasan yang hodoh dan memilukan.
Saya sering bertanya pelajar pasca ijazah perakaunan, “antara wang RM100 berbanding dengan RM1,000, yang mana akan kamu pilih'’ atau patutkah saya menukar soalan ini kepada “keuntungan RM10 juta berbanding dengan keuntungan RM100 juta, yang mana tuan akan pilih'’ kepada usahawan atau tokoh-tokoh perniagaan. Maka saya percaya mereka akan berkata - soalan bodoh yang tidak perlu diberi jawapan!
Kemudian, jika boleh diberi pertanyaan lanjut “Bagaimana jika wang RM1,000 atau keuntungan RM100 juta menyebabkan anak-anak kita buta mata, kudung tangan, sesak nafas atau menghadapi masalah jerebu yang dahsyat, apakah anda atau tuan masih ingin memberi jawapan yang sama?'’
Saya berpendapat, jawapan kepada persoalan tersebut bergantung kepada tahap pendidikan dan pengetahuan tentang kepentingan alam sekitar. Mereka yang tertutup saluran logik dan mempunyai keinginan `kekayaan yang melampau’ tidak akan melihat secara waras.
Hakikatnya kita perlu mendedahkan kepada masyarakat umum tentang: (a) Kepentingan kepada pemikiran yang mengambil kira generasi masa depan malah ia mungkin mengatasi segala-galanya; (b) Mengesahkan hak hidupan lain untuk berkongsi hidup bersama manusia di muka bumi ini; (c) Keperluan untuk mengurus penggantian sumber semula jadi sebagai asas penghasilan mapan; dan (d) Keperluan memastikan sebarang pembangunan dan penggunaan sumber semula jadi tidak hanya bersifat mapan tetapi juga bersifat saksama.
Saya tidak percaya manusia akan belajar dan cuba memahami kepentingan alam sekitar. Bagaimanapun adalah tidak salah untuk kita terus mencuba menyedarkan mereka yang tidak mahu sedar.
Kiita berdoa agar kita tidak terlalu lambat untuk mengekalkan udara segar di Malaysia. Kita perlukan mereka yang waras untuk mengekalkan kehijauan.
Utusan Malaysia: 10 Mac 2005
Powered by WordPress with Pool theme design by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.
Valid XHTML and CSS. ^Top^