Salam sejahtera,
Jika anda berminat untuk membaca kisah kehidupan ringkas tapi signifikan, sila klip DI SINI.
Muhd Kamil Ibrahim
Salam sejahtera,
Jika anda berminat untuk membaca kisah kehidupan ringkas tapi signifikan, sila klip DI SINI.
Muhd Kamil Ibrahim
Salah satu sifat mereka yang sedang menjalankan penyelidikan PhD ialah keghairahan untuk memberitahu penyelia apa yang sedang mereka lakukan.
Saya ketawa membaca apa yang ditulis oleh Halim – staf UiTM Johor – melalui blognya Mohd Halim Kadri. Beliau datang bersemangat memberitahu bakal penyelia rancangan penyelidikan PhD. Kata beliau, bakal penyelianya hanya melihat seminit dan menasihati beliau untuk terus membaca.
Membaca adalah kata kunci atau teras penyelidikan PhD. Kajian kepustakawan merupakan latar belakang kepada penyelidikan yang ingin dilakukan. Bacaan yang meluas dalam bidang yang sama dan berkaitan akan menjadikan mereka sebagai pelajar matang yang boleh mempertahankan thesis apabila disinggung.
Saya melihat time-trail Halim yang beliau mempunyai 2 tahun 11 bulan daripada jumlah 3 tahun yang diperuntukkan. Barangkali bakal penyelia beliau mahu meredakan keghairahan beliau.
Semoga Halim berjaya dengan cemerlang.
Nota: Kesyukuran adalah bahagian yang paling penting di dalam mana-mana penulisan buku. Mungkin itu pandangan peribadi saya. Ia hanya selesai bila buku benar-benar akan memasuki bilik pencetakan. Inilah kesyukuran awal yang ditulis melalui TDMHE:
Buku ini ditulis dalam seribu kesukaran. Saya mengambil masa panjang untuk bersetuju dengan rasa hati bagi mencatatkan beberapa peristiwa pasca haji kerana takut-takut ada yang menyangka yang saya mahu menonjolkan diri sendiri sebagai insan yang lebih mulia dan baik daripada orang lain (holier-than-thou).
Saya juga tidak mahu menjadi manusia yang riyak, sombong dan angkuh. Saya sedar tentang kejahilan diri sendiri. Saya tidak mempunyai banyak ilmu. Dan ilmu yang sedikit ini mahu diheboh-heboh pula. Mungkin pandangan dan telahan individu berbeza dengan apa yang terkandung jauh di sudut hati.
Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [Surah Yusuf, ayat 53]. Astagfirullah. Biarlah Allah yang menentukannya.Namun saya bersyukur kerana Allah menggerakkan rasa hati tentang keyakinan yang buku ini – Travelog Dakwah: Menanti Hari Esok – berniat untuk menceritakan tentang keagungan dan kehebatan Allah SWT. Niat ini terlakar melalui catatan pengalaman kehidupan yang dilalui selepas menunaikan fardhu haji pada 2006. Ia signifikan kerana ibadat hajilah yang mengubah sempadan iman.
Namun niat ini disempurnakan selepas bersoal jawab dengan mereka yang arif, supaya hasil akhirnya benar-benar menepati apa yang terkandung di dalam hati dan perasaan. Saya bersyukur kerana dikelilingi ustaz-ustaz di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam [CITU], UiTM yang sedia memberi pandangan dan pendapat terhadap beberapa isu yang memerlukan perbincangan lanjut.
Di antaranya, Dr Mohd Rahimi Osman, Sofwan Hasbullah, Kamarulzaman Sulaiman, Kamaruddin Majid, Che Zuina Ismail, Ahmad Nawawi, Profesor Madya Abdul Halim Ramli dan Dr Ahmad Che Yaacob. Malah manuskrip buku ini diteliti dan perhalusi oleh sebahagian daripada mereka. Budi baik mereka akan sentiasa dikenang.
Saya bersyukur kerana ditemukan Allah dengan guru-guru Quran yang berhati mulia. Kesemuanya adalah penghafaz al-Quran yang memberi tunjuk ajar dengan cara yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan berterusan. Nama-nama indah itu adalah Hafizi, Idris dan Azrul. Di tangan mereka cahaya Al-Quran menyinari hati dan perasaan. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada mereka.
Kalau kamu tidak menolongnya, sesungguhnya Allah telah menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang yang kafir, berdua dengan orang kedua, ketika itu keduanya dalam gua.Di waktu itu dia mengatakan kepada kawannya: Jangan engkau berdukacita; sesungguhnya Allah itu bersama kita. Lalu Allah menurunkan ketenangan kepadanya, dan dikuatkanNya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang-orang yang kafir itu paling rendah dan perkataan Allah itu yang amat tinggi. Dan Allah Maha Kuasa dan Bijaksana [Surah Al-Taubah, ayat 40].
Ramai yang memberi bantuan terutamanya bantuan moral bagi menulis dan menyudahkan penulisan ini. Ada di antara mereka tidak pernah ditemui. Kewujudannya jelas terasa melalui kehadiran mereka di blog peribadi: http://muhdkamil.net/mystory Kehidupan Ringkas tapi Signifikan.
Nama-nama seperti Misi, Eda, Mundar-Mandir, Ridwanto, Nurazzah, YDPPermas, Suria, Yatie, Watie, Dalilah, Malimputih, Damartim, Lilawati, Ros, Kak Ija, Ilah, Rafie, Alhan…. alahai, terlampau ramai untuk dinyatakan. Kehadiran anda sangat penting dan bermakna dalam hidup saya.
Tanpa saya sedari, ratusan atau ribuan pembaca buku saya yang terdahulu, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman telah menghubungi samada secara e-mail, komen di blog atau SMS mendorong saya untuk menyampaikan dakwah kepada satu golongan yang paling istimewa, mereka yang senasib dengan saya. Keikhlasan mereka berinteraksi dengan saya memberi kekuatan dalaman.
Siapakah yang mendorong untuk terus-terusan menulis kisah-kisah yang tercatat di sini? Saya fikir Puan SifuPTS secara bijaksana memberi pengaruh yang besar. Saya bersyukur kerana berjumpa dengan Tim PTS yang sentiasa ingin memandaikan bangsa. Saya tumpang gembira kerana menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
Ketika penulisan ini berada di kemuncak, pengurusan kanan UiTM Johor – Profesor Madya Yusri, Profesor Madya Zaluddin Sulaiman, Khairul dan Yusuf – memberi sokongan yang tulus. Saya akan kenang budi mereka bersama doa supaya mereka terus mengamalkan solat berjemaah di masjid samada di luar kawasan ataupun ketika berada di kampung halaman, bersama pengarah ataupun bersendirian.
Saya rasa bersyukur kerana berada di sini, kampus yang aman damai dengan flora dan fauna semulajadi yang benar-benar menyejuk hati dan perasaan. Saya dedikasikan buku ini kepada seluruh warga UiTM Johor – mahasiswa dan staf – yang memberi ruang untuk saya menulis. Pesan saya, perubahan menuntut pengorbanan.
Bos saya Dato Seri Profesor Dr Ibrahim Shah secara bergurau bertanya: sejak bila kamu jadi ulamak? Saya ketawa dan memberi jawapan spontan: saya bukan ulamak Dato’ Seri. Saya Cuma mengajak mereka bersolat lima waktu di masjid. Dan beliau memberi galakan untuk terus-terusan menulis sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada manusia sejagat. Saya bersyukur mempunyai bos yang sangat-sangat memahami dengan apa yang sedang saya usahakan.
Pembantu saya, Puan Shamshiah, rakan saya – Adib dan Badar – serta pelajar PhD – Arun, Azwan, Hajah Noraini, Halim, Junaidah, Radziah, Ridzwan, Rosmaini, Shatari dan Shima juga menyumbang kerana menjadi pembantu, rakan dan pelajar cemerlang yang memungkinkan untuk saya menulis buku ini. Saya doakan anda semua berjaya dengan dipermudahkan Allah.
Seluruh keluarga – Roza, Sara, Azrai, Amirul, Sofea, mak dan abah, adik beradik – sentiasa memberi sokongan, tidak pernah berkurang malah bertambah yang menjadikan proses penulisan buku ini sebagai satu ibadat yang tidak membebankan. Pada Roza, saya ingin nyatakan rasa penghargaan penuh cinta serta kasih sayang di atas peranan sebagai isteri yang sentiasa membantu suami, ketika senang dan susah terutamanya di kala hati mencari kebenaran yang hakiki.
Buku ini dan Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman [2007] adalah kisah hidup kita yang pastinya akan menemui garis penamat. Sama ada saya atau Roza yang lebih dikasihinya, saya sentiasa berdoa agar saya dan dia bertemu di syurga bersama anak-anak dan keluarga tersayang.Siapalah saya tanpa Wan dan Ayah. Mereka melahir dan membesarkan saya. Mereka mendidik, berdoa dan memberikan sepenuh kasih sayang untuk saya menjadi seorang manusia.
Ampunkan saya – Wan dan Ayah – kerana pernah lalai daripada mendoakan mereka supaya terlepas daripada azab kubur, ditempatkan di kalangan golongan yang soleh dan dapat berkumpul di syurga yang paling istimewa.Kini, saya merintih dan merayu kepadanya agar memberi segala kemuliaan dan kerahmatan kepada mereka berdua. Saya tahu Allah maha berkuasa, maha pengasih lagi maha penyayang. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang telah saya lakukan.Semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang telah saya lakukan.
Muhd Kamil Ibrahim
Villa Firdaus
Universiti Teknologi Mara Johor
Sebelum tidur, saya menerima dan membaca e-mail daripada salah seorang mereka yang hadir ceramah saya di UiTM Terengganu. Dia menulis:
Selepas mendengar ceramah falsafah MiM semalam, sekurang kurangnya dua orang sahabat saya memberitahu bahawa mereka merasa lega kerana sedar bahawa peluang untuk mereka mengubah diri masih ada (walaupun sudah berumur). Kalau seorang ustaz yang berceramah begitu susah sikit nak “relate”, kerana ustaz tak pernah lalui zaman jahil. Tetapi bila ianya adalah pengalaman sebenar, maka mereka lebih yakin bahawa mereka juga boleh berubah.
Saya bersyukur dan memohon agar mereka dirahmati Allah.
[Nota: Saya sendiri sentiasa memohon bantuan ustaz-ustaz yang banyak membantu dalam pelbagai hal. Merekalah yang pertama saya tuju bila berkhidmat di UiTM Johor]
Semalam adalah hari cuti umum buat negeri Johor. Saya berkunjung ke Dungun, Terengganu atas jemputan UiTM untuk menyampaikan ceramah Falsafah Mim, sebuah buku hasil karya Dato’ Seri Naib Canselor.
Jemputan seumpama ini tentunya menarik minat saya. Pertama kerana saya terlibat secara langsung dengan penerbitan buku tersebut sebagai editor. Apa yang tersurat dan tersirat – saya fikir – telah melalui minda saya.
Kedua, saya – juga saya fikir – mampu untuk mengintergrasikan Falsafah MIM dengan Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Masa dua jam akan saya gunakan sepenuhnya untuk menyampaikan buah fikiran supaya mereka yang hadir dapat berfikir dan membuat pilihan.
Saya teruja mendapat SMS daripada Ustazah Che’ Zuina yang selesai membaca manuskrip Travelog Dakwah dalam tempoh masa 24 jam. Beliau telah memberi pandangan dan membetulkan beberapa perkara asas. Beliau nampak gembira dan positif dengan manuskrip tersebut.
Masih ada empat pembaca lain yang sedang membaca manuskrip tersebut. Kesemua akan memulangkan kembali kepada saya pada hari esok. Di PTS, Encik Faris sedang membaca – slow-slow – kerana kesibukan tugas lain.
Di kalangan bloggers, siapa yang berminat? Saya menunggu 4 atau 5 rakan-rakan yang berkelapangan. Sila e-mail di mkamil@johor.uitm.edu.my untuk menyatakan keinginan dan untuk saya maklumkan beberapa syarat yang perlu dipersetujui apabila membaca manuskrip tersebut.
Nota: Permohonan ditutup. Terima Kasih.
Saya mendapat khabar yang salah seorang pembaca blog telah dinaikkan pangkat. Dia menulis kepada saya:Saya sekadar mahu menyatakan rasa terima kasih saya terhadap nasihat dan pandangan yang prof berikan lewat email mahupun blog “Kehidupan ringkas tapi signifikan”.
Saya sendiri tidak tahu apa yang telah saya lakukan sehinggalah beliau sanggup berterima kasih sebegitu rupa.
Naik pangkat adalah sesuatu yang sangat-sangat menyeronokkan. Dalam keseronokan itu jangan lupa dengan satu ayat yang menjadi kegemaran saya: Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?
Akhirnya, ketulusan dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab akan menyelamatkan kita.
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Usikan staf bertanya, bilakah pengubahsuaian bilik rehat mereka akan terlaksana membuat saya tersenyum. Tujuh bulan bukanlah satu tempoh yang pendek. Penantian yang sebegitu lama membakar perasaan.
Inilah janji pertama bila melaporkan diri ke UiTM Johor. Khusus untuk mereka yang menjadi nadi di dalam sebuah universiti. Malah cita-cita ini terpendam seawal tahun 2000 ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah. Saya mahu menaikkan maruah pemikir-pemikir dan bijak pandai universiti supaya mendapat ruang yang setaraf dengan tahap akal bijaksana mereka.
Saya tubuhkan JK yang terdiri daripada staf akademik untuk berbincang dan memberi input tentang apa yang mereka perlukan. Mereka lukis plan. Mereka membuat kira-kira. Dan akhirnya terhampar satu idea gabungan beberapa staf yang terlibat.
Bajetnya tiada!
Maka itu adalah tugas pengarah. Dan itulah yang saya usahakan. Dan dengan berkat doa-doa mereka yang berharap, ia menjadi satu realiti. Allah memudahkannya walaupun terpaksa menunggu sehingga 7 bulan untuk mengesahkan bajet tersebut.
Saya tersenyum dengan usikan staf sendiri kerana bersebab. Namun, biarlah ia berlalu begitu.
Hari terakhir Minggu Mesra Siswa [MMS].
Saya memberi kuliah subuh untuk slot yang penghabisan. Ia satu permintaan khusus untuk memberi pesanan terakhir sempena MMS.
Pagi ini saya lebih tenang dan santai. Bergelak ketawa dengan cerita-cerita bagaimana mahu mencairkan hati pensyarah. Bagaimana mahu lulus cemerlang. Saya kisahkan bagaimana - pada masa lampau – kehidupan yang perlu dilalui sebagai seorang mahasiswa dan bukannya sebagai pelajar sekolah.
Saya ingatkan sekali lagi, marilah bersolat bersama saya di sini!
Tiba-tiba saya bertanya – siapa yang berpuasa sunat pada hari ini? Petang nanti kita berbuka bersama-sama. Saya belanja.
Saya melihat tangan-tangan di angkat. Saya menganggar kasar, 50 orang. Lalu saya minta disediakan 60 pax hidangan berbuka. Saya umumkan di satu mesyuarat yang terdapat hampir 60 mahasiswa berpuasa sunat dan berkata: Ada di antara tuan-tuan ingin bersedekah kepada mereka yang berpuasa? Hantarlah makanan atau dermakan tunai.
Menjelang petang, ramai yang berderma. Saya tambah lagi pesanan dengan kuih-muih. MasyaAllah bila sampai waktu berbuka, ramainya orang yang saya fikir melebihi 80 orang. Bungkusan nasi tidak mencukupi. Ada yang terpaksa berkongsi.
Saya cuba memimpin mereka dengan berkata, “mari makan bersama saya”. Tentu sekali mereka enggan. OK, kita bahagi dua, separuh ikan dan ayam serta nasi, ambil bekas lain. Lalu beberapa orang yang lain mengikut.
Saya melihat kelibat Roza di celah-celah himpunan siswi pada sudut yang berbeza. Lalu saya berjalan menuju mereka dan berkata: Inilah isteri saya. Dialah yang saya ceritakan pada kuliah subuh tadi. Dialah yang sentiasa menunggu saya pulang daripada solat subuh yang akan saya peluk dan cium pipinya, setiap hari.
Mereka ketawa. Lalu berbaris bersalam. Saya nampak hubungan yang akan berkekalan.
Saya bahagia. Itulah nikmat yang Allah bagi bagi mereka yang berpuasa. Kemanisan berbuka. Suasana cukup aman dan damai. Saya nampak cahaya yang akan menerangi kampus UiTM Johor.
Semalam, pasukan bola pengarah menang besar 4-1, menentang pasukan pelajar baru UiTM Johor.
Kali terakhir main bola ialah pada 2003 di Stadium Shah Alam. Memang saya minat main bola tetapi faktor stamina, usia, kesihatan dan masa [?] nyata tidak memihak. Masa lampau, saya dan pasukan bola daerah Besut [12 tahun] pernah menjadi Johan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu.
He… he… muda-muda dulu!
Namun sifat bersungguh-sungguh bila melakukan sesuatu ternyata tidak terkecuali dalam soal perlawanan semalam. Saya mahu ia dilaksanakan dengan falsafah yang betul. Kesemua pemain pasukan pengarah diminta berkumpul di Masjid As-Syakirin.
Sama-sama bersolat berjemaah Asar, minum petang dan dihantar ke padang bola menaiki bas UiTM.
Saya tidak tahu samada pasukan pelajar baru menerima sebarang arahan Pembantu Mahasiswa yang mahu mereka dikalahkan ataupun tidak tetapi pasukan tua terasa seronok yang mereka telah menang.