Pencuri

July 2nd, 2008

Saya tidak tahu samada betul atau tidak tindakan yang telah saya lakukan.

UiTM Johor mempunyai kawasan yang luas, lebih 500 ekar. Hanya separuh telah dibangunkan. Pembangunannya bertumpu di satu kawasan. Selebihnya masih dipengaruhi dengan daun-daun hijau yang menyejuk mata memandang.

Pagi-pagi ketika pulang dari masjid, saya masih boleh mendengar kicauan burung, unggas dan beberapa bunyi-bunyian yang lain. Kabusnya tebal. Sesekali ayam hutan berkejar-kejar bersebelahan dengan kawasan rumah.

Kawasan kampus dipagar dengan pagar mata punai [?] yang mempunyai besi-besi sebagai tiangnya. Tiang-tiang pagar yang di berada di kawasan hutan kelihatan hilang satu persatu, mungkin kerana di curi orang. Saya meminta bahagian keselamatan untuk menyiasat dan memerhatikan keadaan.

Ringkaskan cerita, pencuri telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah dan dihukum empat bulan penjara. Full stop!

Namun saya mendapat khabar, isteri dan anak-anak pencuri tersebut kehilangan tempat bergantung. Susu anak pun tidak dapat dibeli. Anak tidak hadir ke sekolah dan kelihatan mereka menempuh kesukaran.

Saya fikir ia menjadi tanggungjawab masyarakat. Secara spesifik, ia menjadi tanggungjawab saya dan UiTM Johor. Dan tidak pernah berlaku dalam sejarah kehidupan saya sendiri, tangkap pencuri dan memberi bantuan kepada keluarga pencuri.

Ia peristiwa besar untuk saya dan beberapa staf UiTM Johor.

Nikmat-nikmat Allah

July 1st, 2008

Semalam adalah hari yang begitu banyak nikmat-nikmat Allah. Alahai… setiap hari Allah memberi nikmatnya. Dan saya bersyukur. Subhanallah.

Pagi-pagi lagi saya terasa yang Allah membantu dalam urusan pentadbiran. Hari yang dipenuhi dengan pertemuan, penyiasatan, kena siasat, perjalanan ke kampus bandaraya dan perbincangan selepas berbuka dan bersambung di bilik hotel. Saya rasa di permudah.

Hari ini, saya menerima royalti buku THMSI. Melebihi RM11000 untuk tiga bulan bagi penyata tahun 2007. Pembayaran akan dilakukan sebanyak dua kali. Saya seronok kerana dapat menyerahkan sebahagian daripada royalti ini kepada sekolah yang telah mengajar saya semasa kecil, Sekolah Rendah Tengku Mahmood Besut. 

Selagi ada yang membeli buku ini, selagi itulah SRTM akan mendapat sumbangan kewangan yang boleh digunakan bagi menjayakan program kecemerlangan pelajar. Malah kami adik-beradik yang telah memulakan pengajian di sini bersedia untuk menubuhkan satu tabung khusus untuk tujuan tersebut.

Hari ini juga saya menerima beberapa SMS. “Salam. sudah tengok wajah di pasaran? Saya baru tengok. Teringat kata-kata Kak Roza yang Prof tulis… yang saya ingat, gantung di kedai stesyen bas”.

SMS yang lain: Salam Prof, sudah beli Majalah i? Macam kenal saja orang yang jadi cover!

Saya pun belum melihat dan membaca keluaran terbaru Majalah i. Nanti saya akan berdiri dan membelek lama-lama majalah tersebut di kedai buku. Kot-kot orang perasan dan berkata: Eh… you ke ni? Nanti saya tersengeh dan mengangguk-angguk kepala.

Hari ini juga saya diberitahu yang Roza telah berjaya di dalam temuduga sebagai pensyarah. Dia telah dua kali meletakkan jawatan di sektor korporat semata-mata mengikut saya belajar di luar negara. Pengorbanannya bukan sedikit. Dalam konteks kerjaya, ketika saya menuju puncak, beliau menyongsang turun.

Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik buatnya! 

Hari ini juga saya berjaya menghabiskan penulisan buku Travelog Dakwah. Saya perlukan seminggu lagi untuk membuat bacaan kali kedua, melihat gaya dan lenggok bahasa dan menambah isi di sana-sini sebelum dihantar kepada beberapa Ustaz yang sudi membaca manuskrip ini. Saya mahu mereka melihat kesesuaian ayat-ayat Allah yang saya sandarkan di dalam penulisan tersebut.

Dan saya bersyukur di atas segala-galanya.

Anak-anak

June 29th, 2008

Malam ini saya sepatutnya akan memberi kuliah Maghrib kepada hampir 500 pelajar baru UiTM Johor di Masjid As-Syakirin. Semalam, saya dicadangkan agar bercakap dengan mereka terlebih awal, selepas solat subuh bagi memastikan mereka masih segar dengan suasana yang lebih kondusif.

Saya bersetuju.

Ketika berdiri ingin memulakan solat air mata saya mengalir laju. Ia bercucuran. Saya tidak tahu kenapa. Barangkali saya sayu dan syahdu kerana di belakang saya berdiri 500 makmun yang lain.

Inilah cita-cita dan harapan saya ketika menerima jawatan sebagai pengarah UiTM Johor. Saya mahu masjid di bawah jagaan saya makmur, berkat dan disayangi Allah. Masjid inilah yang akan memberikan cahaya ke seluruh kawasan kampus.

Kemudian, Ustaz Kamaruddin membaca ayat-ayat daripada surah Ar-Rahman dengan suara yang sangat merdu. Satu surah yang saya tahu intipati maknanya, “Nikmat tuhan manakah yang ingin kamu dustakan”. Airmata berterusan mengalir. Menitis ke atas sejadah.

Saya tidak tahu samada saya mampu bercakap kepada mereka. Saya benar-benar sebak. Saya kumpulkan tenaga, cuba mengawal emosi dan dengan perlahan-lahan saya nyatakan kepada mereka:

“Saudara-i, semalam anak perempuan saya melaporkan diri di UiTM Melaka. Saya tidak dapat menghantar beliau kerana saya berada di sini untuk menerima saudara-i, yang sebaya dan seusia dengannya. Saya berpisah dengan seorang anak, kemudian saya menerima anak-anak yang lebih ramai, hampir 500 orang.

Pesan saya kepada beliau: Sara jangan lupa bersolat. Pakai tudung, dan belajar bersungguh-sungguh.

Saudara-i adalah anak-anak saya. Saya juga mahu saudara-i bersolat. Bersolat bersama ayah di sini, di masjid ini. Inilah rumah kita untuk kita bertemu. Setiap hari. Saya akan sentiasa berada di sini bersama saudara-i.

Jika ada sebarang masalah, mengadulah kepada saya di sini, di sini. Tidak perlu pergi ke pejabat……..

Hampir 45 minit saya menyampaikan pesanan dan harapan. Jika saya berjaya membawa mereka ke masjid, takut dan gentar kepada Allah, mengetahui kebesaran Allah, maka inilah pertolongan Allah yang sangat-sangat saya nantikan. Saya tidak mahu mereka terhenti selepas berakhirnya minggu mesra siswa.

Marilah kita berdoa!

Kepercayaan

June 28th, 2008

Memberi kepercayaan bukanlah suatu yang mudah. Bagaimanapun, setiap ketua harus bermula dengan memberi kepercayaan kepada setiap staf yang dipimpin. Prinsip manusia sentiasa berubah, boleh berubah dan mahu berubah adalah asas kenapa kepercayaan harus dianugerahkan kepada mereka.

Keyakinan ini disandar pula dengan memahami ayat-ayat Quran yang dibaca hampir setiap dinihari bersama Ustaz Azrul. Berselang ayat akan ada kenyataan yang mengajak manusia untuk bertaubat dan ditegaskan bagaimana Allah maha pengampun lagi maha menyayangi.

Saya sedang membaca surah Hud. Bacaannya tidaklah sebanyak dulu. Setiap pagi hanya dihadkan kepada dua muka. Selesai membaca Al-Quran, saya membaca pula terjemahannya. Sudah beberapa hari menelan kisah-kisah kaum terdahulu yang dihilangkan keturunannya. Azab yang Allah turunkan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Berbalik kepada kisah kepercayaan. Tentu sekali menerima berita yang orang melanggar kepercayaan lebih sukar untuk diterima. Ia sangat-sangat memedihkan hati dan perasaan.

Lalu kita palingkan segalanya kepada Allah SWT: Ya Allah, kau ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah. Mudahkanlah urusan kami di sini. Hanya padamulah tempat kami mengadu dan bercerita. Kau permudahkanlah kami ya Allah.

Anak kecil

June 27th, 2008

Sofea anak bongsu kami. Baru berusia 5 tahun.

Pagi tadi dia berkata: Sofea tak nak sayang ayah! Kenapa?, tanya saya sambil menekan minyak kereta menuju sekolah.

Kenapa malam tadi ayah lempar seluar dalam ayah pada Sofea?

Ya Allah. Rupanya sepanjang malam dia tidur dengan penuh kemarahan. Patutlah dia berselimut sampai ke kepala. Merengus bila mahu dicium  pipi.

He… he… ayah gurau aje… main-main! Mari kita baca Fatehah. Hatinya sejuk kembali. 

Bersyukur

June 25th, 2008

Kami mempunyai 12 adik-beradik. Ayah seorang guru lulusan darjah lima. Ibu tidak bekerja secara formal. Ialah…. dia seorang suri rumah yang begitu banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan.

Bila dewasa dan saya imbau kembali kisah kami adik-beradik dan keluarga terdapat satu ciri amalan Wan [ibu] dan Ayah yang tiba-tiba mengusik hati.

Ia adalah kenduri kesyukuran. Mereka yang hadir adalah jiran tetangga dan sanak-saudara. Ia kerap berlaku. Wan dan Ayah akan mengadakan kenduri setelah anak-anaknya berjaya di dalam peperiksaan. Kenduri lagi apabila anak akan melanjutkan pelajaran dan entah tiba-tiba tanpa tahu hujung pangkal terdapat pula satu kenduri yang lain.

Malah ada masanya, Wan memasak lebih dan dihantar ke masjid. Ketika beliau sakit dan berseorangan di rumah, amalan ini masih diteruskan walaupun bukan Wan yang memasak. Inilah cara Wan dan Ayah melahirkan rasa syukurnya di atas kejayaan anak-anak.

Saya tahu pendapatan mereka tidak seberapa. Namun ia tidak menjadi penghalang yang besar. Dan saya nampak bagaimana rezeki ayah dan wan sentiasa diberi Allah. Anak-anak tidak bergaduh dan bermasam muka, mereka tidak perlu menumpang sampai ke akhir hayat, dengan gaji yang sedikit dapat pula menyediakan rumah yang selesa untuk kami adik beradik.

Gaji terakhir ayah hampir 20X ganda kurang daripada gaji anaknya. Ia membuat saya termenung memikirkan tentang amalan yang satu ini. Saya berdoa kepada Allah agar saya tidak menjadi manusia yang bakhil dan tidak mengingati nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan.

Dan saya bersyukur kerana Allah membenarkan Sara melanjutkan pelajaran di UiTM Melaka.

Menarik

June 25th, 2008

Sesuatu perkara yang menarik tentang kehidupan ialah bagaimana untuk mengurus kehidupan itu sendiri. Saya belajar sesuatu, perjalanan kehidupan begitu berwarna-warni. Malah ada ketikanya berliku-liku.

Saya ambil contoh mudah, ada masanya kita memberitahu, orang kata menunjuk. Kita melawak, orang kata mengutuk. Kita menasihati, orang kata memarahi.

Pandangan atau persepsi individu sangat-sangat berbeza dalam menilai kehidupan. Oleh sebab itu – saya fikir – lebih baik memikir dan menilai diri sendiri supaya dapat terus maju. Barangkali pandangan sendiri tidak selalunya benar. Memohon panduan daripada Allah adalah cara yang sangat bertepatan.

Beberapa hari yang lalu, seorang pelajar mengkritik urusan pentadbiran yang telah beliau lalui. Tidak berlindung di sebalik nama samaran. Malah dia sanggup berhadapan dengan pengarah sendiri kerana dikatakan masalah tersebut berpunca daripada beliau. Dinyatakan secara terperinci masalah yang sedang beliau hadapi. Dan dia telah melalui satu pengalaman yang sukar.

Tentu sekali saya tidak perlu defensif atau cuba untuk melindungi kesalahan atau kesilapan yang mungkin dilakukan oleh pihak pengurusan. Saya membaca dengan tekun aduan yang telah dikemukakan secara jujur dan ikhlas.

Kehidupan perlu diperbetulkan!

Opsyen 58

June 24th, 2008

Semalam adalah hari penyerahan opsyen untuk staf UiTM. Samada kekal pada umur persaraan 55, 56 atau 58.

Saya dan Roza memilih untuk kekal bersara pada usia 56. Terdapat juga sedikit percubaan Roza untuk mempengaruhi agar saya memilih umur 58. Alasannya mudah. Kami boleh bersara pada tahun yang sama.

Kata saya: Tidak mengapa Yang, selama dua tahun saya akan sediakan makan pagi, awak tidak perlu lagi menggosok baju saya dan anak adalah urusan saya [he... he... adakah ini janji palsu?]. 

Saya berharap dan berdoa agar Allah memanjangkan umur kami supaya dapat bersara ketika badan masih sihat dan mampu menjalankan kerja-kerja kebajikan. Malah – mengikut perancangan dan hasrat hati – saya mahu menjadi penulis sepenuh masa.

Begitu banyak catatan kehidupan yang masih boleh ditulis untuk ditinggalkan sebagai harta pusaka. Semoga tulisan-tulisan itu memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketika kunjungan Dato’ Seri Naib Canselor ke UiTM Segamat, saya nyatakan hasrat berkaitan dua perkara, pertama tempoh perkhidmatan sebagai pengarah kampus dan kedua yang saya tidak akan memilih opsyen 58 untuk bersara.

Beliau memahami dan memberi pandangan yang sangat-sangat positif. Saya merencana kehidupan sendiri, Allah yang menentukannya. 

Hebat

June 22nd, 2008

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang keluar dari rumahnya kerana kesombongan dan ingin dilihat orang serta menghalangi (orang) dari jalan Allah, dan Allah itu mengepung apa yang mereka kerjakan [Surah Al Anfaal, ayat 47].

Saya sangat-sangat berbangga dengan staf akademik yang muda-muda tetapi berjaya menjadi insan yang hebat. Hasil kerja kuat, dalam masa yang singkat mereka berupaya menjadi penyelidik, penulis dan tenaga pengajar yang mampu menaikkan nama universiti.

Kehebatan diri tidak bermakna perlu hadir bersama dengan perasaan sombong, angkuh dan riyak. Lebih tinggi ke atas lebih kerap kita perlu melihat ke bawah. Perasaan hebat pada diri sendiri sebenarnya akan membawa kecelakaan. Mungkin tidak sekarang tetapi – percayalah – ia akan tiba jua.

Bertahun-tahun menjadi pentadbir akademik, saya menyaksikan bagaimana mereka yang kelihatan hebat enggan mengikut peraturan universiti, berasa diri disayangi dan mahu diberi keistimewaan melampau akhirnya tewas dengan perasaan sendiri.

Mereka tidak akan ke mana akhirnya. Dan pasti - pada satu ketika – akan menemui jalan mati. Sekurang-kurangnya hati sentiasa resah dan sepi!

Lalu, saya fikir perasaan menyombong diri tidak akan membawa faedah. Lebih baik mengikut resmi padi, lebih berisi, lebih tunduk. Hormat orang tidak boleh dipaksa. Ia datang di atas kerendahan hati dan perasaan. Mereka yang ikhlas akan terserlah di wajah atau melalui tindakan mereka. Samada dalam diam ataupun di mata awam.

Hebat? Kehebatan sebenar hanyalah di sisi Allah. Marilah kita memohon keampunan Allah SWT.

PR

June 21st, 2008

Kedua-dua anak bujang, Azrai [17 tahun] dan Amirul [10] menyambut hari kelahiran mereka pada 20 dan 22 Jun. Timing yang betul….

Ketika di Pulau Pinang, saya cuba mengunjungi Azrai di MRSM Kepala Batas. Gagal kerana peraturan sekolah tidak membenarkan pelawat berjumpa dengan anak-anak semasa hari persekolahan. Saya tidak bersoal-jawab kerana menghormati peraturan yang telah ditetapkan.

Di dalam keluarga, Azrai yang paling pintar bermain dengan kata-kata. PRnya sangat cemerlang. Semalam, beliau menghantar SMS kepada mamanya:

“17 tahun mama jaga Azrai…. Azrai tidak kira… l will make mama proud and happy 1 day… Mama doakan azrai jee…”

Pagi-pagi lagi Amirul membuat panggilan: Ayah.. ayah, Amirul dapat nombor dua! Wow… tahniah, itu Amirul langsung tidak baca buku, kalau baca harus dapat nombor satu, balas saya.

Saya ketawa melihat keputusan keseluruhannya. Jika di Shah Alam harus kekal dengan kedudukan ‘atas 20′. Namun hijrah ke Segamat memberi motivasi baru kepada Amirul. Dia nampak seronok dengan keputusan tersebut. Tersengih. Ia menjadi isu penting!

Ayah doakan Azrai dan Amirul sentiasa dirahmati Allah, menjadi manusia berguna dunia dan akhirat.