Salimah M

November 28th, 2007

Assalamualaikum wbt. Prof. Kamil,
Alhamdulillah saya bersyukur kerana telah diberi kesempatan olehNya untuk menghayati pengalaman yang dikongsi dalam buku Travelog Haji – Melepasi Sempadan Iman .

Sememangnya sedikit sebanyak pengalaman yang tertera di dalam buku ini menggamit nostalgia serta mengimbau kembali kenangan tatkala menjalani ibadah umrah beberapa tahun yang lalu. Cuma catitan pengalaman umrah saya itu dinukilkan di laman diary peribadi buat renungan sendiri sahaja.

Insyaallah segala panduan, tazkirah serta nasihat yang terkandung di TH akan dimanfaatkan sebaik mungkin bila saya menerima kad jemputan untuk ke Baitullah kelak. Banyak pengajaran yang boleh dikupas dari buku TH dan spektrum ini mencakupi persediaan awal sebelum penunaian ibadah haji, ketika menjalani ibadah haji itu sendiri, perlakuan Haji/Hajjah setelah pulang ke Malaysia di samping sikap murni yang ditonjolkan oleh penulis juga wajar diambil iktibar.

Dari segi persediaan awal ( pre-hajj ), sebagai insan yang lalai kita perlu saban hari bermuhasabah (merenung ke dalam diri sejauh mana kita sebagai hamba Allah telah menjalankan tanggungjawab di muka bumi ini) lantas beristighfar sebanyak mungkin dan bertaubat seikhlas hati untuk kembali ke fitrah asal kita … iaitu membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah (gantikan dengan sifat-sifat mahmudah) dan berhijrah kepada tingkat keimanan serta ketaqwaan yang lebih tinggi.

Kesemua ini tidak perlu kita tunggu sampai hendak buat haji baru hendak dimulakan sesi muhasabah diri! Hari ini kita boleh mula jika kita masih belum bermuhasabah dan berusaha untuk bertaqqarub dengan Allah swt. Buku TH bagi saya umpama peringatan buat diri yang lupa, yang mengetuk pintu batin agar sedar dari kealpaan duniawi yang dipenuhi dengan kesibukan kerja semata-mata.

Banyak persiapan diri dan ilmu yang perlu dilengkapkan.  Doa merupakan senjata yang paling ampuh untuk kita dampingi agar niat yang berlubuk di hati untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dipermudahkanNya dan ditempatkanNya kita di landasan yang betul. Falsafah serta konsep ibadah haji perlu difahami dengan jelas agar ibadah ini dapat dihayati selayaknya.

Mekah Almukaramah bukanlah satu destinasi pelancongan atau pusat membeli belah tetapi di situlah terletaknya Rumah Allah untuk dikunjungi oleh tetamu-tetamuNya dalam memenuhi Rukan Islam yang terakhir. Sewaktu menjalani ibadah ini pula (during hajj ), kita mesti berniat dengan betul dan ikhlas semata-mata kerana LillahiTa’ala.

Bukan sahaja mulut (tutur-kata) kena jaga tapi hati kena cuci dan pelihara sama. Perasaan berbaik sangka kepada Allah dan manusia perlu disuburkan sentiasa, selain memperlazimkan doa (khusyuk dan yakin) sepanjang masa dalam setiap keadaan. Sifat sabar juga satu bekalan yang sangat penting di mu sim haji ini. Satu lagi yang agak sukar dila kukan oleh kita manusia yang selfish ialah menjadikan diri kita berguna kepada orang lain yang memerlukan.

Alangkah indahnya bila orang yang kita bantu itu mendoakan kebaikan untuk kita seperti yang digambarkan dalam TH. Membuat orang lain gembira pun akan membawa bahagia dan puas di sanubari kita (paling mudah beri Strepsil bagi mereka yang gatal tekak).

Alhamdulillah jika haji mabruh dikurniakanNya kepada kita (post-hajj ). Apa yang telah kita amalkan semasa ibadah haji itu hendaknya dapat dikekalkan secara istiqamah sekembali ke tanah air. Kita berjaya menjadi insan yang telah kembali kepada fitrah manusia dan menjadi insan yang baik berbanding sebelum kita menyempurnakan Rukun Islam ke5 ini.

Semoga surah Al-Asr kita jadikan prinsip hidup kita. “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal shalih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran .”

Akhirkata, saya akui yang saya mengkagumi sikap merendah diri seorang Profesor yang sanggup berterus terang mengakui kekurangan diri dan menyatakan yang tersirat secara nyata. Agak sukar dewasa ini untuk bertemu dengan mereka yang berpangkat tinggi bersikap sedemikian. Jika adapun boleh dibilang dengan jari! Yang ramai adalah yang mengikut resmi lalang.

Lagi tinggi pangkat, lagi mendabik dada, bongkak dan sombong serta gila gelaran meskipun telah bergelar Pak Haji dan Mak Hajjah. Jika beginilah sikap manusia yang menjadi pemimpin hari ini, siapa yang hendak mengikuti kata-kata mereka serela hati. Cakap mereka ibarat hikayat boleh dengar tapi tidak boleh percaya.

Pengajaran utama di sini adalah “ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk” dan do not look to become a person of success only, BUT also to become a person of value . Sekalung tahniah untuk Prof. K dan doa saya semoga Allah swt memberkati hidup Prof. sekeluarga.

Beberapa naskah buku yang saya beli dari Prof. tempoh hari telahpun saya hadiahkan kepada saudara mara dan rakan yang menunaikan Haji tahun 1428H ini atas niat dan doa dipohonkan agar mengalir jua pahala yang dimanfaatkan oleh pembaca sebagai untaian amal jariah yang berterusan untuk arwah Ayahanda tercinta Mokhtar bin Haji Ayob yang telah pulang mengadap Ilahi pada tanggal Selasa 16 Oktober 2007 bersamaan 4 Syawal 1428H.

Al-Fatihah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin
 

Salam Hormat,
Salimah M, UM

Norela

November 3rd, 2007

Assalamualaikum Prof Kamil, Apa khabar?

Saya doakan Prof sekeluarga sihat afiat. Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana lewat membuat ulasan buku ‘Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman’. Selepas seminggu berhari raya saya sedikit kurang sihat.

Sekarang sudah pulih semula. Saya sudah membaca buku ‘Travelog Haji’ dan ketika menulis ini, terdetik di hati, siapalah saya hendak mengulas buku yang ditulis dengan sebegini baik oleh seorang professor yang bersungguh-sungguh menjalin hubungan paling istimewa dengan Allah s.w.t.

Namun kerana menepati janji, saya coretkan di sini sedikit pandangan peribadi dengan rasa amat rendah hati. Tidak dinafikan buku ini amat baik. Saya cuba untuk tidak terikut-ikut rentak pengulas-pengulas lain yang memuji buku ini, tapi itulah hakikatnya. Tahniah Prof, dan terima kasih kerana menulisnya.

Secara peribadi buku ini mendorong saya memuhasabah diri. Bukan tidak pernah melakukannya, tapi buku ini membuka pintu hati saya untuk menilai semula kualiti hubungan saya dengan Allah s.w.t. Saya sudah dua kali menunaikan fardhu haji dan sembilan kali menunaikan umrah.

Saya menyatakan ini bukanlah untuk berbangga, sekadar berkongsi pengalaman. Ya, saya pernah merasai nikmat berada dan beribadah di tanah suci. Namun jauh di sudut hati, masih terasa peningkatan ibadah saya seperti yo-yo. Kekadang terfikir juga di manakah silapnya. Saya menghayati tulisan Prof yang berkongsi rasa tanpa berselindung, untuk mencari persamaan dan perbezaan.

Ya, jawapan yang dicari-cari itu ada terselit di celah-celah helaian buku Prof itu. Dua perkara yang paling terkesan di hati saya daripada buku ini ialah untuk berdoa secara spesifik kepada Allah s.w.t. bagi memohon apa saja yang dihajati.

Saya turut mengubah suai doa-doa yang Prof tulis di belakang buku itu untuk memohon kepada Allah s.w.t. secara spesifik buat diri saya dan keluarga. Impak kedua bagi saya ialah untuk menjalin hubungan PALING istimewa dan berkualiti tinggi dengan Allah s.w.t. Saya sudah melakukannya sebelum ini tetapi mungkin teknik saya masih tidak kena untuk menikmati ‘keistimewaan’ yang sungguh istimewa itu.

Saya pernah membaca kata-kata hikmah berbunyi : You can only change what you acknowledge. Ia memang benar kerana meyakini, memperakui dan mengiktiraf sesuatu itu sebenarnya bukan setakat di bibir tetapi perlu terbit dari hati, diakui sebenar-benarnya di situ dan kemudian berubah dan diamalkan secara berterusan.

Doakanlah kami sekeluarga, Prof, agar turut berjaya menjadi insan-insan istimewa di sisiNya. Akhirkata, mohon berbanyak maaf di atas salah dan silap dalam tulisan saya ini.

Asmin

October 28th, 2007
Alhamdulillah….
Allah SWT telah memberi saya kekuatan bagi menghabiskan pembacaan buku keramat Prof, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman meskipun dalam kekalutan menguruskan 2 putera yang semakin lasak sekarang.
Adik saya, Azma dan suami saya, Mahyudin yang terlebih dahulu menghabiskan pembacaan buku ini selalu urge saya menghabiskan buku ini segera. Perasaan membuak-buak untuk menghabiskan bacaan saya membuatkan saya stay up sehingga jam 2 pagi semalam dan hari ini, 25hb Okt tepat 6.55ptg mengikut jam astro saya menamatkan 251 mukasurat buku Prof ini.
Dengan penyampaian dan gaya tulisan yang santai, perkataan dan bahasa yang mudah difahami membuatkan saya selesa dengan pembacaan saya. Alhamdulillah, banyak yang saya pelajari daripada buku Prof ini. Seperti yang yang dinyatakan oleh suami saya, Alhamdulillah, kami dilahirkan dalam family yang amat mementingkan solat, quran, malah kami sudah berkali-kali khatam al-quran sejak berumur 9 atau 10 tahun. Tidak hairanlah kerana abah adalah guru quran sejak kami mula mengenali dunia ini.
Tapi, Prof membuatkan saya sedar bahawa nikmat yang saya miliki itu tidak saya hargai sepenuhnya. Sehingga kini, saya tidak tahu membezakan lagu-lagu tarannum yang dimahiri abah.
Mendapat pendidikan di sekolah agama, sering dilatih dengan amalan2 di waktu sepertiga malam dan pelbagai lagi amalan yang sepatutnya menjadi kelaziman sebagai seorang yang ingin meningkatkan iman. Tapi semua itu bagai angin lalu, dan hanya dilakukan ketika hati berasa gundah, menghadapi masalah dan menghajatkan sesuatu.
Alhamdulillah, Allah SWT menemukan kami dengan Prof dan memberi kami kekuatan membaca hasil karya Prof yang amat bernilai ini. Terima kasih Prof. Semoga Allah SWT terus memberi Prof ilham agar terus dapat berkarya dan menyentuh lebih banyak hati yang makin jauh dari rahmat dan redha Allah SWT.
Saya akan sarankan sahabat2, saudara mara serta kawan2 untuk membaca buku ini jika inginkan suatu kelainan. Sekali lagi, terima kasih Prof.    

Mahyuddin

October 25th, 2007

Assalamualaikum Warahmatullah & Salam Sejahtera Prof Kamil,

Alhamdulillah buku Travelog Haji Prof dapat saya tamatkan dalam tempoh 3-4 hari sewaktu cuti hari raya tempohari. Itu pun berganti2 dengan isteri yang juga sedang membacanya.

Saya baru tiba di Pahang pagi ini setelah bercuti sakan sehingga semalam, memandangkan Pahang bercuti umum pada 24hb kerana hari keputeraan Sultan Pahang.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Saya mengucapkan syukur yang amat. Bagi saya buku Prof sangat bermakna. Bermakna untuk diri saya, sudah pasti bermakna untuk semua pembaca.

Saya tidak menitiskan air mata, tapi hati saya sentiasa berderau dan berdebar2 setiap kali membaca kisah yang Prof alami di Tanah Haram, dan setiap patah kata dan cerita di dalam buku tersebut menunjukkan betapa ia lahir dari hati Prof. Dan sudah pasti apa yang datang dari hati akan jatuh ke hati jua.

Allah dengan sifat kasih sayangaNya telah melimpahkan Hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dalam konteks Prof, segala yang Prof tulis dalam mengakui kejahilan dan kealpaan Prof (saya tidak ingat, ia bab yg awal, yg Prof tulis di akhirnya Prof sangat berat hati untuk menulis bahagian tersebut) menunjukkan bahawa Allah sangat kasih dan sayang pada Prof dan telah memilih Prof untuk menerima hidayahNya.

Apatah lagi Dia menjemput Prof ke rumahNya dan di sana Dia melimpahkan kasih sayangNya pada hambaNya yang terpilih. Tidak semua yang bertamu ke Baitullah mendapat hidayah seperti yang Prof dapat, sebab itu ada di antara mereka seakan2 tidak suka Prof bertalbiah kuat2 di dalam bas, ada yang sibuk shopping, ada yang memilih solat di dalam bilik, dan ada yang sepanjang di Mekah tidak sihat, tapi bila nak pulang ke Msia baru sihat dan berseri2.

Saya amat tersentuh dengan kisah Prof dapat mencium Hajarul Aswad buat kali pertama. Dan Prof membuat tanggapan mulanya bahawa orang yang kuat stamina shj mampu mencium Hajarul Aswad memandangkan tolakan dan rempuhan begitu kuat dari segenap sudut.

Dan akhirnya Prof mendapat didikan langsung dari Allah bahawa “Akulah Maha Berkuasa, dan sesuatu itu berlaku dengan KehendakKu. Bahawa kita manusia tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan hanya Allah sahaja.” Begitu juga kisah Jamratul Aqabah, kisah di Raudah, kisah bagaimana seorang yang Prof tarik masuk saf sebelah Prof menghampar sejadah sepenuhnya untuk Prof sewaktu sembahyang sunat, Allahh…. semua kisah2 Prof sangat menyentuh hati.

Terlalu indah pengalaman yang Prof dapat di sana. Saya juga berdoa dan bercita2 untuk mendapat pengalaman serupa di sana bila sampai masa saya ke sana nanti. Saya doakan moga Allah kurniakan haji yang mabrur untuk Prof, insyaAllah Buku tersebut juga membuatkan saya merenung diri saya kembali.

Sememangnya ia menginsafkan diri. Kalaulau Prof yang dalam serba kekurangan dpat berubah dan kembali ke jalan Allah, mengapa tidak saya? Ayat dari surah ar-Rahman yang selalu Prof tulis itu cukup tepat. Nikmat yang saya kecap yang selalu saya dustakan adalah nikmat mengenal agama sejak kecil.

Kenal Quran, khatam sudah berkali2, sentiasa mendapat peluang untuk solat berjamaah, solat sunat, bangun malam. Itu semua perkara yg biasa bagi saya sejak di sekolah menengah. Namun saya tidak dapat mengekalkannya. Saya selalu lalai dan leka. Saya selalu lupa Allah.

Saya cepat panas baran. Iman saya kerap sangat berkurang, bertambahnya jarang sekali. Bila ditimpa kesusahan barulah teringatkanNya. Kata2 Prof yang Prof taknak menjadi manusia yang hanya ingatkan Allah sewaktu susah, dan lupa bila senang tepat mengena ke atas kepala saya.

Saya memohon semoga hidayah Allah kekal dan Allah membantu saya mendidik hati saya ini. Terima kasih Prof kerana menulis buku tersebut. Semoga Allah merahmati Prof dan keluarga.

Saya beristighfar dengan Allah dan memohon ampun dari Prof atas segala lintasan2 sangka buruk yang datang di hati saya terhadap Prof. Saya yakin setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah menguji kita kerana Dia sayangkan kita.

Azma

October 24th, 2007

Mengenali Profesor Muhd Kamil Ibrahim bukanlah sesuatu yang ajaib bagi saya.

Tapi saya sangat bersyukur dengan perkenalan dengan Profesor Accounting ini. Sudah ramai insan yang saya kenali melalui alam siber dan sehingga kini sentiasa hadir dalam doa-doa saya. Prof. Kamil menambahkan lagi bilangan sahabat juga saudara saya. Apatah lagi saya berpeluang mengenali keluarganya.

Mengenali Prof Kamil juga menambahkan lagi senarai Profesor-profesor humble yang saya kenali serta hormati. Terbukti pepatah orang tua-tua dalam diri beliau “Ibarat resmi padi, makin berisi semakin tunduk ke bumi”.

Saya terasa diberi penghormatan ketika Prof Kamil menjemput saya menghadiri Majlis Pelancaran buku keramat beliau, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Pelancaran buku yang sangat hampir dengan Eid Fitri berlangsung penuh makna bersamaan tarikh 27 Ramadhan di Dewan Annexe, UiTM Shah Alam.

Saya juga rasa gembira kerana dapat bertemu Puan Ainon dan Kak Shima. Saya ditemani Ibah.

Majlis yang penuh barakah itu menjadi sunyi sepi bila Prof Kamil naik ke pentas dan lampu dipadamkan. Ketika itu saya merasakan seolah-olah semua darah saya tersejat.

Apabila Prof membacakan suatu kisah yang bagi saya ajaib dan istimewa “Jamratul ‘Aqabah”, mula lah saya mendengar tangisan dari kiri dan kanan saya. Seumpama Prof dan kisah yang dibacakan itu bersatu menjadi satu, dan mengajak hadirin menyatu bersama ke dalamnya.

Ketika majlis berakhir, saya dan Ibah tidak tahu hendak ke mana? Mahu berjumpa Prof, terlalu ramai manusia yang mengerumuni Prof yang sedang menjadi selebriti pada hari itu.

Mahu berjumpa Puan Ainon, juga tersangat ramai orang-orang besar (pada hemat saya) berbicara dengan beliau. Mahu menemui Kak Roza (sumber inspirasi Prof Kamil) tak kurang juga dikerumuni manusia.

Saya dan Ibah menunggu terus. Dan bersyukur akhirnya dapat kami menemui Puan Ainon dan Kak Shima. Seterusnya menemui Kak Roza, Prof dan keluarga Prof. Setelah mendapat tandatangan Prof. Kamil pada buku yang diberi percuma sumbangan Dato’ Dr. Mohd Zaini (terima kasih) saya berkira-kira untuk balik ke Gombak.

Prof menandatangani buku Travelog Haji saya di bahagian Prolog. Saya tidak kisah di mana pun Prof hendak tandatangan. Ketika dalam perjalanan pulang saya membelek-belek buku keramat putih bersih itu, ternampak tanda tangan Prof.

Masya Allah, berderau darah saya dibuatnya bila mendapati di muka surat itu Prof telah memetik tulisan saya yang sebenarnya khusus untuk beliau di dalam email, yang sudah saya tidak ingat bila saya hantar. Petikan yang menyebut tentang “Karamah” dan “Ikram Ilahi”.

Perbezaan keduanya itu saya fahami dari penjelasan Ustaz Bediuzzaman Said Nursi di dalam Rasail al-Nur. Waktu itu saya rasa kerdil dan malu sendiri, seorang Profesor Dr. yang terkenal telah memetik tulisan saya. Mudah-mudahan ini suatu gambaran Ikram Ilahi yang perlu saya fahami.

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman Saya sudah pun selesai membaca buku keramat ini. Saya tidak tahu apa yang hendak dikomen.

Tetapi saya mencadangkan kepada sesiapa yang pernah menunaikan Fardhu Haji, untuk memiliki naskhah terbitan PTS ini. Kepada sesiapa yang belum juga seperti saya ni, saya sarankan belilah kerana ia sarat dengan motivasi.

Moga terbuka pula jalan untuk kita. Buku ini memanglah tidak sempurna kerana sifat sempurna itu hanyalah milik Allah. Meskipun demikian saya terlupa untuk mencari di mana yang tidak sempurna itu. Saya terlalu sibuk untuk menjiwai setiap huruf yang tersusun dan teratur di dalam bab-bab yang pendek di bawah tajuk-tajuk yang sangat menarik.

Secara ekstrim saya menyatakan buku ini sangat best, sangat best dan sangat best! Sangat best tau!!! Tiga dimensi penting dalam epistemologi Islam dapat saya perhatikan wujud dalam buku keramat Profesor yang seorang ini.

Dimensi Tuhan, manusia dan alam. Suatu ilmu pun tidak ada yang luar dari ruang lingkup tiga perkara ini. Semuanya terjalin kemas, secara santai. Terbukti dunia mana mungkin dipisahkan dari langit.

Hubungan erat bumi dan langit dipersembahkan melalui kisah-kisah penuh iktibar dalam Travelog Haji. Hati saya bergegar, jantung saya seolah terhenti ketika saya membaca “Dua Jam di Raudah”. Bertuahnya Prof. Saya doakan Prof yang telah pun masuk ke Raudah akan kekal di Raudah.

Seperti cerita Sheikh Fuad Kamaludin tentang kisah seorang alim yang tertanya-tanya adakah dia yang masuk ke Raudah (salah satu dari taman syurga) layak untuk masuk ke syurga Allah di akhirat nanti.

Terngiang kata-kata Sheikh Fuad yang memetik kisah itu seterusnya, akhirnya terjawab persoalan alim itu ketika tertidur di Raudah, “Seseorang yang telah memasuki syurga, tidak mungkin dikeluarkan dari syurga.”

Mudah-mudahan, Prof Kamil beroleh syurgaNya. Ameen. Wallahhua’lam

Zaitun Salleh

October 24th, 2007

Subhanallah. Alhamdullillah. Allahu Akbar

Dari awal perasmian airmata saya mengalir tanpa disedari sehinggalah menamatkan pembacaan Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.Itulah gambaran yang ingin dinyatakan disini

Syukur Alhamdulillah kerana Prof.dipilih olehnya untuk menyambung hidayah darinya itu kepada kami pula.dalam bidang penulisan yang amat bermakna sekali. Saya mendalami buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman  sebagai bahan rujukan dan persediaan.Dengan harapan yang menggunung agar apabila Allah menghulur kad jemputan, insyallah saya mempunyai sedikit ilmu untuk mempraktikanya.

Perasaan saya pastinya tersentuh apabila membaca doa-doa yang di amalkan oleh Prof, amat mudah dan mendalam sekali maknanya. Sesiapa pun sesuai mempraktikanya.

Syabas saya ucapkan kepada Prof  kerana berjaya menghasilkan penulisan dengan mengunakan bahasa yang amat mudah difahami hatta pelajar peringkat rendah sekali pun.

Saya mendoakan agar pengelaman yang diceritakan oleh Prof dalam buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman akan dijadikan iktibar oleh umat Islam yang lain demi untuk menjejaki Universiti Baitullah.

Rabbi Yassir Wala Tuassir. 

Rohani

October 24th, 2007

Assalamu’alaikum Prof.,

Saya mengucap berbanyak terima kasih. Sebaik saja saya perolehi buku tu, saya terus membaca, page by page tanpa sedari dah hampir separuh saya baca. ini menunjukkan penulisan dan penceritaan yang begitu baik dan menusuk kalbu.

Ia mampu mewujudkan satu perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap cerita-cerita seterusnya. Saya ucapkan tahniah kepada Prof kerana mampu menghasilkan sebuah buku yang mampu membuka ‘hati’ pembaca yang mungkin tidak berminat atau ‘takut’ untuk ke tanah suci. Semoga Allah memberkati usaha murni Prof.

InsyaAllah..

Faridah

October 24th, 2007

Prof Muhd Kamil

Malam tadi saya telah membaca buku tersebut kerana tidak sabar-sabar lagi. Buku Travelog Haji amat berguna bagi hamba seperti saya yang akan ingin menunaikan ibadah fardu haji.

Tip-tip doa yang nada lembut menyusuk kalbu memohon keredaan,petunjuk  dan pertolongan Allah. Saya  tidak pernah terfikir untuk berdoa dengan nada yang selembut demikian kerana kekurangan ilmu.

Terima kasih di atas usaha Prof menghasilkan buku yang dapat menginsafkan. Tahniah buat keluarga Prof dan isteri tersayang Raudah.

Halimah

October 24th, 2007

Terima kasih kerana telah menjemput saya ke majlis berkenaan. Alhamdulillah saya sempat hadir dan menerima cenderahati yang sangat bermakna itu. Pengalaman Prof mengimbau pengalaman saya sendiri semasa mengerjakan haji dahulu.

Apa yang lekat sebagai keyakinan saya sehingga saat ini ialah “Allah sentiasa dekat jika kita mendekati Nya dan Allah akan memberi kepada mereka yang sentiasa mengharapkan Nya” . Sesungguhnya Allah amat pemurah lagi amat mengasihani!

Mohd Hassan

October 24th, 2007

Prof Haji,
Alhamdulillah kesempatan bercuti menyegerakan saya untuk tamat membaca buku berkenaan.  Sungguh baik untuk bakal haji atau yang pernah pergi menunaikan haji malahan siapa sahaja yang berminat berkaitan dengan kebesaran dan keagungan Allah, khususnya amalam Haji dan Umrah.  Kebetulan pagi ini saya ada sedikit kelapalangan untuk membuat sedikit coretan mengenai buku berkenaan.  Isteri saya sedang membaca.

Saya amat tertarik beberapa perkara:
1.  Kebolehan Prof Haji bangun setiap pagi selama tempoh 6 bulan samata-mata untuk sujud kepada-Nya.  Demikianlah kasih Allah kepada hambanya yang sentiasa bermunajat untuk mencari keredhaan-Nya.
2.  Saya kagum dengan kesungguhan dan kebolehan Prof Haji dapat menguasai bacaan Al Quran dalam tempoh yang begitu singkat.  Dengan izin Allah jua.
Mengingkap sedikit diri saya, walaupun anak Tok Imam di Kampung (telah meninggal), saya tidak boleh membaca Al-Quran sehingga umur 20-an, tiada guru di kampung pada masa itu.  Alhamdulillah atas kehendak dan izin-Nya juga saya telah saya mempelajari sendiri dan akhirnya boleh membaca Al-Auran.  Saya selalu sebut kepada anak-anak tentang diri saya yang tidak boleh membaca Quran pada usia 20-an.  Saya mahu mereka menguasai bacaan Quran dari kecil.  Dengan izin-Nya saya sendiri mengajar mereka pada hari ini.
3.  Saya juga amat kegum dengan konsep “Di Mekah Mungkin Saya Dianggap Maklikat atau Wali Allah”.  Saya menceritkan kepada keluarga saya tentang konsep ini.  Semua orang pada mulanya menggangapkan bahawa Prof Haji dah tak betul.  Bagaimanapun bila saya cerita apa yang ditulis oleh Prof Haji barulah perkara berkenaan difahami.  Alhamdulillah.
4.  Kaedah penulisan amat bersesuaian; dari peringkat awal penulis ada menyebut bahawa tulisan ini adalah bukan kerana keegoan, sombong diri atau menunjuk-nunjuk.  Penulis menonjolkan bahawa penulisan ini adalah semata-mata untuk menunjukkan kebesaran Allah.  Pada pandangan saya ia amat bersesuai.  Namun mungkin bagi sesetengah pembaca mereka tetap menggangap isi kandungan terdapat sedikit unsur kebanggaan kepada diri sendiri.  Saya fikir Prof Haji tidak perlu ambil pusing kerana Allah maha mengetahui.
5.  Membaca buku berkenaan bukan sahaja memberi pengetahuan yang berguna kepada pembaca, tetapi ia memberi suatu motivasi kepada saya khususnya untuk mempertingkatkan amalan kepada Allah.  2 perkara penting yang menjadi cita-cita saya setelah membaca buku berkenaan:
5.1. untuk menambah amalah Qiamullail
5.2.  memperbanyakkan puasa sunat.  

Demikian sedikit komen saya berkenaan buku Prof Haji.  Terima kasih kerana telah memberi ilmu kepada saya melalui tulisan Prof Haji.  Halalkan ilmu berkenaan.